Ameng akui kesilapan lampau & kini bangkit demi keluarga, A. Aida halalkan segala dosa lalu – ‘Kalau tak berubah, saya teruk’

LocalEntertainment
5 May 2026 • 3:20 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Ameng akui kesilapan lampau & kini bangkit demi keluarga, A. Aida halalkan segala dosa lalu – ‘Kalau tak berubah, saya teruk’

PERJALANAN hidup tidak selalu indah, apatah lagi buat insan yang pernah diuji dengan kejatuhan besar.

Namun, di sebalik kisah silam yang penuh liku, ada ruang untuk bangkit dan memperbaiki diri. Begitulah yang dilalui penyanyi terkenal, Ameng, yang kini memilih untuk membuka cerita lama sebagai satu bentuk keinsafan dan pengajaran.

Tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan bekas isterinya, Datuk A. Aida yang memaklumkan telah menghalalkan segala kesalahan lalu, pemilik nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail itu tidak menafikan, kesilapan terbesar dalam hidupnya berpunca daripada penyalahgunaan bahan terlarang.

Memetik perkongsian penyanyi berusia 57 tahun itu kepada OhBulan!, pengaruh dadah bukan sahaja menghancurkan kerjayanya, malah merosakkan asas sebuah keluarga yang pernah dibina dengan penuh harapan.

“Kesalahan saya dengan A. Aida adalah disebabkan dadah, tiada perkara lain.

"Kesan daripada itu membuatkan saya lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan merosakkan kerjaya," ujarnya.

Image from: Ameng akui kesilapan lampau & kini bangkit demi keluarga, A. Aida halalkan segala dosa lalu – ‘Kalau tak berubah, saya teruk’

Tambahnya lagi, apabila kerjaya mula terjejas, rezeki juga semakin sempit, sekali gus memberi tekanan kepada hubungan rumah tangga.

“Apabila kerjaya terjejas, rezeki pun terjejas, dan akhirnya keluarga turut terkesan.

"Pada ketika itu, A. Aida sudah hilang keyakinan terhadap saya dan merasakan tiada masa depan," kongsi anak kelahiran Besut, Terengganu itu lagi.

Di sebalik kejatuhan yang dilaluinya, bapa kepada tiga cahaya mata itu mendedahkan, ada insan yang tidak pernah berhenti mendoakan dan setia menunggu perubahan dirinya iaitu isteri tersayang, Sabariah Zakaria.

Berkongsi detik paling sukar dalam hidupnya, Ameng mengakui wanita tabah itu sering berdepan tekanan emosi setiap kali dia berada dalam keadaan tidak terkawal.

“Saya hanya minta kepada Tuhan supaya saya pulih. Saya sedar saya banyak buat dosa, terutama kepada isteri saya, Sabariah.”

“Dulu setiap kali saya bawa kawan-kawan ke rumah dan terlibat dengan aktiviti tidak sihat, isteri saya akan membaca Yasin untuk menenangkan diri kerana dia tahu keadaan saya ketika itu sukar dikawal," ungkap pelantun lagu Bourgenvilla, Butakah Cinta dan Romantis itu lagi.

Image from: Ameng akui kesilapan lampau & kini bangkit demi keluarga, A. Aida halalkan segala dosa lalu – ‘Kalau tak berubah, saya teruk’

Sinar baharu

Pengalaman hitam berkenaan menjadi titik tolak buat Ameng untuk berubah, lebih-lebih lagi selepas melalui episod dipenjarakan yang benar-benar membuka matanya tentang erti kehidupan.

“Selepas keluar dari penjara, kalau saya masih tidak berubah, memang saya ini teruk.

"Itu yang buatkan saya nekad untuk pulihkan diri," ujarnya lagi.

Kini, kehidupan Ameng dilihat semakin stabil. Malah, hubungan kekeluargaan yang pernah retak juga kembali terjalin dengan lebih baik, memberi sinar baharu dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, selepas saya berubah, keluarga saya juga semakin baik.

"Anak-anak menunjukkan perubahan positif dan kehidupan saya kini lebih teratur," jelasnya dengan nada penuh syukur.

Image from: Ameng akui kesilapan lampau & kini bangkit demi keluarga, A. Aida halalkan segala dosa lalu – ‘Kalau tak berubah, saya teruk’

Terdahulu, A. Aida turut mencuri perhatian apabila mengakui telah menghalalkan segala kesalahan Ameng terhadapnya selepas tersentuh melihat kesungguhan penyanyi itu membantu anak mereka, Azeva dalam program televisyen.

Menurut penerbit itu, tiada lagi dendam atau isu berbangkit antara mereka, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan sebagai ibu bapa demi kebaikan anak.