‘Saya halalkan semua yang lepas, dia tetap bapa…’ – A. Aida & Ameng ketepi kisah lama demi anak, Azeva tak sangka diterima ramai

EntertainmentFamily & Parenting
28 Apr 2026 • 9:55 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Saya halalkan semua yang lepas, dia tetap bapa…’ – A. Aida & Ameng ketepi kisah lama demi anak, Azeva tak sangka diterima ramai

BAKAT mungkin boleh membuka pintu, tetapi bukan semua yang melangkah masuk ke dunia seni mampu bertahan lama.

Dalam perjalanan membina nama, kekuatan mental sering menjadi penentu sebenar dan itulah yang paling ditekankan oleh Datuk A. Aida ketika berkongsi kisah anak perempuannya, Azeva yang kini mencuba nasib dalam program realiti Talk To My Manager.

Bagi penerbit terkenal itu, perjalanan Azeva bukanlah kisah ‘overnight success’. Sebaliknya, ia penuh dengan fasa turun naik yang cukup menguji kesabaran seorang ibu.

“Sebelum ni, daripada dia umur 12 tahun, saya tahu dia memang boleh menyanyi. Saya selalu pujuk dia, suruh dia menyanyi, suruh dia berlakon. Tapi itulah… hangat-hangat, sekejap nak, sekejap tak nak,” luahnya jujur.

Anak perempuannya itu sebenarnya sudah lama menunjukkan potensi dalam nyanyian, malah pernah merakam lagu untuk runut bunyi drama bersama komposer terkenal.

Namun, seperti yang diakui sendiri oleh A. Aida, momentum itu sering terhenti di tengah jalan.

Sebagai ibu, perasaan kecewa itu sukar disembunyikan. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak memiliki pakej lengkap, rupa dan suara, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Image from: ‘Saya halalkan semua yang lepas, dia tetap bapa…’ – A. Aida & Ameng ketepi kisah lama demi anak, Azeva tak sangka diterima ramai

“Saya cakap dekat dia, tak semua orang Tuhan bagi anugerah. Dia ni ALLAH dah bagi banyak.

"Cantik, suara sedap… sayanglah kalau tak guna,” ujarnya lagi.

Namun, segalanya berubah apabila Azeva pulang dari Australia dan mula menunjukkan kesungguhan yang berbeza.

Dari situ, A. Aida tidak lagi sekadar memerhati, sebaliknya tampil mengambil peranan lebih aktif sebagai ‘manager’ yang mengatur langkah anaknya.

“Bila dia balik dan cakap nak menyanyi, nak berlakon, saya terus ‘wow’, okay let’s go for it. Bagi saya, ini peluang untuk dia bina nama,” ujarnya.

Penyertaan dalam Talk To My Manager dilihat sebagai platform yang membuka ruang lebih luas buat Azeva.

Namun di sebalik peluang tersebut, A. Aida cukup jelas, laluan dalam industri ini bukan mudah, apatah lagi untuk ‘boom’ dalam masa singkat.

“Tak mudah nak cipta nama. Masuk program macam ni, stamina kena kuat. Sebab itu saya pastikan dia jaga diri, pergi gym… semua itu penting,” jelasnya.

Lebih daripada fizikal, beliau turut menekankan soal kekuatan emosi, sesuatu yang sering menjadi ‘silent battle’ dalam kalangan artis baharu hari ini.

“Saya beritahu Azeva, ini zaman media sosial. Jangan peduli, jangan tengok komen. Mulut netizen macam-macam. Ada saja yang menghentam.

"Benda-benda macam ni boleh buat kita down, boleh jadi anxiety,” katanya serius.

Menurutnya, sebagai seorang ‘manager’, tanggungjawabnya bukan sekadar mengurus jadual atau latihan, tetapi memastikan anaknya benar-benar bersedia dari segi mental.

Image from: ‘Saya halalkan semua yang lepas, dia tetap bapa…’ – A. Aida & Ameng ketepi kisah lama demi anak, Azeva tak sangka diterima ramai

“Ini bukan sekadar nasihat sebagai ibu, ini tugas saya sebagai manager dia,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap agar masyarakat lebih bijak dalam memberi komen, kerana setiap kata-kata mampu memberi kesan besar kepada emosi seseorang artis.

“Kalau boleh, komenlah yang membina. Bila orang puji, artis rasa lebih semangat. Itu yang buat mereka teruskan perjalanan,” katanya.

Di sebalik kisah kerjaya, satu lagi momen yang mencuri perhatian adalah hubungan baiknya dengan bekas suami, Ameng yang kembali tampil menyokong anak mereka di pentas.

Tutup kisah lama

Menurut A. Aida, beliau memilih untuk menutup kisah lama dan membuka lembaran baharu demi kebaikan keluarga.

“Saya dengan Ameng sebenarnya dari dulu tak ada masalah. Bila dia sanggup bantu anak, saya halalkan semua yang lepas.

"Perkara yang lepas, usah dikenang,” ujarnya tenang.

Baginya, apa yang lebih penting adalah hubungan sebagai ibu bapa kepada anak yang sama, bukan lagi kisah silam yang tidak membawa ke mana.

“Apa pun dia tetap bapa kepada anak saya. Itu tak boleh ubah,” tambahnya.

Sementara itu, pemilik nama penuh Azeva Natassha itu sendiri mengakui tidak menyangka penerimaan yang diterimanya kini jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Image from: ‘Saya halalkan semua yang lepas, dia tetap bapa…’ – A. Aida & Ameng ketepi kisah lama demi anak, Azeva tak sangka diterima ramai

Malah, persembahannya di pentas berjaya menyentuh hati ramai.

“Azeva tak sangka ramai suka. Rasa macam tak bagi yang terbaik pun malam tu, tapi ramai yang tersentuh. Azeva bersyukur sangat,” kata pemegang Ijazah Perakaunan dari Victoria University, Melbourne, Australia itu lagi.

Lebih menyentuh hati, gadis manis berusia 25 tahun itu turut berkongsi bahawa pengalaman lalu yang pernah dilalui menjadikan dirinya lebih kuat hari ini.

“Dulu mungkin tak ramai suka Azeva. Tapi sekarang bila orang mula terima, rasa terharu sangat. Azeva maafkan semua orang.

"Ujian dulu mungkin sebab ALLAH nak bagi yang sekarang,” ujarnya sebak.

Perjalanan Azeva mungkin baru bermula, namun satu perkara jelas, di sebalik rupa dan suara, kekuatan mental dan sokongan keluarga menjadi ‘aset’ paling berharga untuk terus bertahan dalam industri yang penuh cabaran ini.