Nampaknya perang dingin diantara Amerika Syarikat dan China akan berterusan buat seketika ini, kerana Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengeluarkan arahan eksekutif yang mengatakan selain daripada menjual bahan dan kelengkapan teknologi kepada syarikat-syarikat China, syarikat Amerika juga dilarang untuk melakukan pelaburan terhadap syarikat-syarikat tersebut.
Menurut laporan Wall Street Journal, walaupun arahan ini dikeluarkan baru-baru ini, perkara ini telah dalam perbincangan untuk berbulan-bulan lamanya, dan melibatkan larangan pelaburan keatas syarikat teknologi China yang membangunkan teknologi kecerdasan buatan, kejuruteraan kuantum dan juga pembangunan teknologi semikonduktor.
Syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang sedang menjalankan perniagaan di China juga perlu melaporkan sebarang pelaburan yang dilakukan kepada syarikat-syarikat di China, khususnya berkenaan kecerdasan buatan dan juga pembangunan teknologi semikonduktor.

Kerisauan kerajaan Amerika Syarikat setakat ini nampaknya adalah terhadap pemesatan teknologi di China yang akan mendorong mereka untuk membangunkan senjata-senjata yang boleh digunakan terhadap mereka dan juga negara-negara sekutu mereka.
Malah, kerisauan mereka terhadap penggunaan teknologi Amerika dalam membangunkan teknologi China menyebabkan mereka juga melihat semula terhadap pelaburan syarikat-syarikat China didalam syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat.
Butiran mengenai arahan eksekutif terbaru ini dijangka akan diumumkan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat tidak lama lagi, dan kerisauan utama banyak pihak ialah ia akan menyebabkan ketegangan yang lebih serius diantara kedua-dua kerajaan ini.
- Sumber
- Wall Street Journal




