
Algoritma media sosial yang tidak terkawal kini menjadi kebimbangan utama. Tanpa kawalan, algoritma boleh menjadi pengaruh besar yang boleh mengancam pengguna. Oleh sebab itu, Australia mengusulkan undang‑undang (RUU) baharu untuk mengekang pengaruh algoritma ini. Langkah tersebut memberi mesej jelas bahawa era algoritma tanpa sempadan sudah berakhir.

Australia melihat perubahan algoritma sebagai cara menjaga hak pengguna. Namun, tidak bagi Amerika Syarikat (AS) yang berpendapat ia berpotensi membuka pintu kepada penapisan kandungan. Melalui kedutaannya di Canberra, AS mengkritik langkah itu dan memberi amaran bahawa ia boleh dianggap sebagai bentuk penapisan.
Mereka bimbang jika kerajaan mewajibkan reka bentuk algoritma tertentu, platform akan menapis kandungan secara berlebihan untuk mengelak hukuman. Akibatnya, suara atau pandangan tertentu mungkin hilang jangkauan seolah‑olah kandungan itu dibuang terus.

AS menegaskan bahawa kesannya tidak hanya terhad kepada Australia. Jika algoritma dipaksa berubah, ia boleh mempengaruhi apa yang pengguna lihat dan dengar di seluruh dunia. AS turut meminta Australia menjelaskan bagaimana istilah bahaya dan risiko akan ditentukan supaya tidak kabur dan tidak disalah tafsir secara politik.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menegaskan bahawa perubahan ini sudah lama dirancang dengan matlamat mengembalikan kawalan kepada pengguna, bukan menambah kuasa kerajaan.
Sumber: Reuters






