
Setiap ibu bapa mahu melihat anak mencapai kehidupan yang baik dan berjaya, namun harapan yang terlalu tinggi tanpa mengambil kira minat dan kemampuan mereka boleh berubah menjadi tekanan.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila pencapaian anak mula dijadikan ukuran kasih sayang dan penerimaan dalam keluarga sehingga mereka berasa perlu memenuhi impian ibu bapa untuk membuktikan nilai diri sendiri.
Pegawai Psikologi (Kaunseling), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, harapan mula menjadi beban apabila ibu bapa menetapkan sasaran berdasarkan impian sendiri tanpa mengambil kira kemampuan, minat atau keupayaan sebenar anak.

“Harapan berubah menjadi beban apabila ia bertukar daripada dorongan yang menyokong kepada syarat untuk mendapatkan kasih sayang dan penerimaan.
“Apabila kegagalan mencapai sasaran itu dibalas dengan kekecewaan, kritikan atau hukuman emosi, anak akan mula melihat harapan tersebut sebagai ancaman, bukan lagi dorongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Impian ibu bapa bukan jalan hidup anak
Menurutnya, antara bentuk harapan yang boleh menjadi tekanan kepada anak ialah tuntutan akademik dan kerjaya yang terlalu ketat, termasuk mewajibkan mereka memperoleh keputusan cemerlang atau memilih bidang tertentu seperti doktor, jurutera dan peguam.
“Keinginan terhadap kesempurnaan juga boleh membuatkan anak berasa tertekan apabila mereka tidak dibenarkan melakukan kesilapan dalam apa jua bidang.
“Pada masa sama, ada anak yang berasa mereka perlu memikul tanggungjawab emosi ibu bapa, termasuk menjadi ‘penyelamat’ kepada status, kewangan atau imej keluarga di mata masyarakat,” katanya.
Katanya, keadaan itu turut berlaku apabila ibu bapa menafikan bakat dan minat anak kerana terlalu mahu mereka mengikut laluan yang ditetapkan.
“Contohnya, kita dapat nampak anak ada bakat dalam bidang muzik, tetapi bakat tersebut dinafikan kerana ibu bapa risau anak tidak mahu menjadi doktor seperti yang mereka sendiri harapkan.
“Tuntutan agar anak mengikut jejak langkah adik-beradik atau ibu bapa, walaupun minat anak jauh berbeza, boleh membuatkan mereka berasa tidak selesa dan tertekan,” ujarnya.
Mula rasa diri tidak cukup baik
Tekanan berterusan untuk memenuhi kehendak ibu bapa bukan sahaja membuatkan anak takut gagal, malah boleh mempengaruhi cara mereka menilai diri sendiri.
Nurfarahira berkata, anak mungkin mula mengukur harga diri berdasarkan keputusan peperiksaan, pekerjaan atau pencapaian yang berjaya diraih sehingga menganggap kegagalan sebagai bukti mereka tidak cukup baik.
“Tekanan berterusan merosakkan konsep kendiri anak. Anak akan mula mempercayai nilai diri mereka hanya bergantung kepada pencapaian semata-mata, bukan pada diri mereka sebagai seorang manusia,” katanya.
Keadaan itu boleh menyebabkan anak hidup dalam ketakutan terhadap kegagalan dan berasa dirinya tidak pernah cukup baik walaupun sudah berusaha.
“Jika perkara ini berlaku, ia boleh melahirkan rasa ketakutan kronik terhadap kegagalan dan rasa tidak berdaya, malah dalam jangka masa panjang boleh mencetuskan kemurungan serta kecelaruan keresahan dalam diri anak-anak,” jelasnya.
Takut kecewakan ibu bapa
Tidak semua anak berani menolak kehendak ibu bapa walaupun mempunyai impian sendiri dan pilihan sendiri kerana bimbang keputusan tersebut akan dianggap sebagai satu bentuk penolakan terhadap keluarga.
Menurut Nurfarahira, anak mempunyai keperluan asas psikologi untuk berasa selamat, diterima dan dicintai oleh ibu bapa.
“Bagi anak, mengecewakan ibu bapa dirasai sebagai satu bentuk penolakan atau ancaman kepada ikatan kasih sayang tersebut.
“Disebabkan itu, ada anak yang sanggup mengetepikan kehendak dan impian sendiri kerana terlalu takut kehilangan penerimaan daripada ibu bapa,” katanya.
Dia berkata, perasaan bersalah dan terhutang budi atas pengorbanan ibu bapa juga boleh menyebabkan anak sukar mempertahankan pilihan sendiri.
“Rasa bersalah dan terhutang budi atas pengorbanan ibu bapa kerap membuatkan anak sanggup mengorbankan kebahagiaan dan identiti sendiri demi menjaga hati serta emosi ibu bapa,” katanya.
Jangan banding, jangan paksa
Tekanan terhadap anak turut meningkat apabila anak kerap dibandingkan dengan adik-beradik atau anak orang lain.
Ujarnya, perbandingan boleh memberi kesan terhadap harga diri anak, terutama apabila mereka merasakan pencapaian orang lain dijadikan ukuran untuk menilai diri sendiri.
“Ia mewujudkan emosi negatif seperti rasa tidak berguna, cemburu dan dendam, sama ada terhadap ibu bapa atau individu yang dibandingkan,” katanya.
Dalam pada itu, Nurfarahira berkata, ibu bapa perlu memahami perbezaan antara memberi dorongan dengan memberi tekanan atau paksaan kepada anak.
“Memberi dorongan bermaksud ibu bapa memberikan sokongan, galakan dan kepercayaan kepada anak sambil mengambil kira minat, kebolehan dan kemampuan mereka.
“Ibu bapa juga perlu memberikan ruang kepada anak untuk menyuarakan pendapat, membuat pilihan dan belajar daripada kesilapan,” katanya.
Sebaliknya, paksaan boleh menyebabkan anak takut melakukan kesilapan, berasa bersalah dan sentiasa merasakan diri mereka tidak cukup baik.
“Berikan nasihat, sokongan dan batasan yang sesuai, tetapi pada masa yang sama berikan ruang kepada anak untuk mengenali dirinya, membuat pilihan dan membina keyakinan diri,” jelasnya.
Dia turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan anak sebagai kesinambungan kepada impian yang tidak sempat dicapai sendiri.
The post Anak terbeban penuhi keinginan ibu bapa appeared first on Utusan Malaysia.





