Amerika Syarikat kurangkan tarif Malaysia kepada 19% daripada 25%

01/08/2025 - 09:24
Gambar: AFP
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19% berbanding 25% sebelum ini berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Ini berlaku selepas amaran awal dari Washington mengenai kemungkinan pengenaan duti sebanyak 25% ke atas import dari Malaysia.
Negara jiran di Asia Tenggara dikenakan kadar berbeza, dengan Thailand dan Filipina turut dikenakan tarif sebanyak 19%, manakala Vietnam dikenakan duti sebanyak 20%.
Indonesia dan Kemboja dikenakan kadar yang sama dengan Malaysia iaitu 19%, manakala Laos menghadapi tarif yang lebih tinggi iaitu 40%.
Menurut kenyataan Rumah Putih, negara-negara yang masih belum memeterai perjanjian perdagangan atau menerima notis tarif daripada pentadbiran Trump akan menerima makluman rasmi daripada AS selewat-lewatnya tengah malam Khamis.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, pasukan perdagangan AS bekerja tanpa henti untuk berhubung dengan sebanyak mungkin negara.
“Lebih 200 negara telah menghubungi pasukan perdagangan dan tarif kami. Keutamaan diberikan kepada rakan dagang utama, dan dua pertiga daripada 18 negara utama telah pun menandatangani perjanjian khas.
“Bagi negara yang belum menerima makluman, mereka akan menerima surat atau perintah eksekutif sebelum tengah malam,” katanya.
Sementara itu, Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) yang kini merupakan pempengaruh media sosial, Datuk Eric See-To berkata, penurunan kadar tarif pada saat akhir itu menurut laporan media Singapura adalah selepas Malaysia mengalah terhadap dua perkara termasuk mengiktiraf sijil halal AS bagai beberapa produk termasuk farmaseutikal.
Beliau berkata, ia dilakukan kerana “pensijilan mereka memang bagus” dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selaku badan pensijilan tempatan, telah meneliti proses tersebut.
Katanya, Malaysia juga akan membekalkan unsur nadir bumi kepada AS kerana Malaysia mempunyai simpanan nadir bumi melebihi 16 tan dianggar bernilai lebih RM1 trilion dan bijih nadir bumi yang dilombong di Malaysia kini dieksport ke China kerana negara tidak mempunyai teknologi yang diperlukan untuk memprosesnya.

"Selain kedua-dua itu yang masih belum disahkan kerajaan, kita juga sedang menanti pengumuman daripada MADANI tentang keistimewaan atau konsesi lain yang Malaysia sanggup tawarkan kepada AS sebagai syarat untuk menurunkan kadar tarif negara kita.
"Dengan tarif 19% ini, Malaysia tidak dapat apa-apa kelebihan berbanding negara-negara jiran yang turut dikenakan tarif 19% juga. Namum tarif 10% ke atas Singapura akan menjejaskan Malaysia lebih teruk berbanding jiran ASEAN lain yang turut dikenakan tarif 19%," katanya menerusi laman Facebook.
Eric berkata, kesan yang akan diterima Malaysia daripada tarif yang lebih rendah yang diberikan kepada Singapura termasuk persaingan langsung terutama dalam sektor elektronik, farmaseutikal dan pembuatan berteknologi tinggi.

Katanya, apabila Singapura dapat kelebihan tarif, pelanggan AS lebih cenderung beralih dari Malaysia ke Singapura.
Beliau berkata, apabila dagangan lebih banyak masuk melalui Singapura pelabuhan Malaysia seperti Port Klang dan PElabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berdepan pengurangan hasil manakala pelaburan langsung asing (FDI) yang sebelum ini memilih Malaysia kerana kos rendah mungkin berpindah ke Singapura demi elak tarif tinggi.
"Negara jiran lain (Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja) tidak bersaing secara langsung dengan Singapura dalam sektor bernilai tinggi, jadi kesan ke atas mereka tidak seteruk Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ekonomi utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU) dilayan secara berbeza — kadar tarif China masih dalam rundingan berasingan, manakala barangan dari EU yang dikenakan tarif di bawah 15% akan diselaraskan untuk mencapai ambang tersebut.
AS mengecualikan beberapa barangan EU yang sudah dikenakan tarif melebihi 15%, manakala yang lain dinaikkan untuk mencapai kadar minimum.
Sementara itu, Trump berkata, walaupun tarif akan berkuat kuasa tujuh hari selepas jam 12.01 pagi pada 1 Ogos, barangan yang sudah dalam perjalanan akan diberikan tempoh kelonggaran selama tujuh hari, bagi mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan.
Peraturan ketat terhadap pemindahan penghantaran mengenakan penalti sebanyak 40% ke atas barangan yang dialihkan laluan bagi mengelak tarif, dengan senarai hitam awam terhadap pihak yang melanggar peraturan, tambahnya.
Trump berkata, negara-negara yang sedang merundingkan perjanjian perdagangan dengan AS mungkin dikenakan kadar sementara, dengan pelarasan akhir bergantung kepada persetujuan yang dicapai.
India dikenakan tarif sebanyak 25%, Brazil 10%, dan United Kingdom (UK) 10%, mencerminkan penilaian berbeza oleh AS terhadap timbal balik perdagangan.
Jepun, Korea Selatan, dan Israel dikenakan duti rata sebanyak 15%, manakala tarif lebih tinggi dikenakan terhadap negara seperti Syria (41%) dan Myanmar (40%), berikutan ketegangan geopolitik. - DagangNews.com
featured standard



