Amerika Syarikat Mungkin Memperkenalkan Kawalan Eksport Komponen AI Secara Global

WorldTechnology
6 Mar 2026 • 5:51 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tatkala kita ingatkan bahawa kemelut Amerika Syarikat dan China berkenaan eksport komponen AI sudahpun berakhir, Amerika Syarikat dijangka akan membuat satu lagi keputusan drastik dengan memperkenalkan kawalan eksport komponen AI baharu secara global pula.

Menurut laporan daripada Bloomberg, Department of Commerce Amerika Syarikat sedang merangka peraturan eksport baharu untuk komponen-komponen pemprosesan AI, khususnya cip-cip yang dihasilkan oleh AMD dan juga NVIDIA.

Berbeza dengan sekatan eksport sebelum ini yang menyekat pembelian komponen AI oleh negara-negara seperti China dan Russia, kawalan eksport kali ini akan memerlukan pengesahan daripada kerajaan Amerika Syarikat sebelum produk-produk tersebut boleh dieksport ke negara-negara lain.

Kawalan eksport ini akan hadir dalam beberapa tahap berbeza bergantung kepada saiz pembelian komponen-komponen ini. Menurut perangkaan awal, kawalan ini akan hadir dengan tiga tahap, termasuklah penghantaran sehingga 1000 unit GPU, syarikat dengan keperluan pemasangan komponen yang lebih tinggi, dan kluster yang memerlukan beratus ribu komponen GPU AI yang diselia oleh satu syarikat.

image is not available
NVIDIA-Blackwell-B200-GPU-

Untuk eksport sehingga 1000 GPU NVIDIA GB300 contohnya, ia hanya memerlukan pengesahan yang ringkas daripada pihak Department of Commerce. Untuk penghantaran melangkaui angka tersebut, misalnya 10 ribu ke 20 ribu GPU NVIDIA GB300, arahan pra-pengesahan perlu dimohon terlebih dahulu sebelum lesen eksport diberikan. Syarikat-syarikat juga akan perlu menjelaskan keperluan mengeksport jumlah komponen AI yang besar sebelum ia dibenarkan untuk dieksport ke negara-negara luar.

Untuk kluster AI di luar negara yang memerlukan beratus-ribu GPU AI pula, seperti contoh AWS, Google, Microsoft, OpenAI dan sebagainya, kerajaan negara yang akan mengimport GPU-GPU ini perlu berbincang dengan kerajaan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum lesen eksport diberikan untuk negara tersebut.

Perkara ini masih lagi hanya diwar-warkan sebagai khabar angin, tetapi melihat kepada undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk beberapa tahun lepas berkenaan eksport produk syarikat-syarikat mereka, perundangan baru ini mungkin akan menjadi realiti tidak lama lagi.