Oracle merancang memberhentikan ribuan pekerja bulan ini kerana tekanan kewangan yang disebabkan pelaburan besar dalam pusat data kecerdasan buatan (AI) menurut laporan Bloomberg. Syarikat milik Larry Ellison ini menandatangani perjanjian bernilai $300 bilion dengan OpenAI bagi menyokong Project Stargate yang ingin menjadikan Amerika Syarikat kuasa besar dalam industri AI.

Syarikat sedang mengalami krisis aliran tunai selepas komitmen perbelanjaan besar untuk mengembangkan infrastruktur awanan bagi memenuhi permintaan pelanggan seperti OpenAI, xAI dan Meta. Sesetengah jawatan akan dipotong kerana dijangka mengecil akibat automasi menggunakan AI. Oracle juga memperlahankan atau membekukan pengambilan pekerja dalam bahagian awanan. Pada ketika ini Oracle mempunyai 162,000 pekerja sepenuh masa.
Nasib Oracle juga terumbang ambing akibat mengejar trend AI. Tahun lalu untuk seketika Ellison memintas Elon Musk sebagai manusia terkaya dunia selepas pendapatan perkhidmatan awanan Oracle dijangka meningkat 77% tahun lalu. Ini tidak berlaku dan saham syarikat kembali susut.
Peningkatan kekayaan ini digunakan Ellison bagi membantu anak beliau David Ellison mengambil alih Paramount, Warner Bros Discovery pada nilai $110 bilion dan beliau membeli perniagaan TikTok Amerika Syarikat daripada Bytedance.




