Amika Residences habis dijual, umum projek baharu GDV RM1bilion

Business & FinanceProperty
8 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amika Residences habis dijual, umum projek baharu GDV RM1bilion

PETALING JAYA: Avaland Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran hartanah apabila meraikan majlis pemasangan struktur bumbung tertinggi (topping-out) bagi projek Amika Residences, yang kini mencatat kemajuan pembinaan lebih awal daripada jadual selain mencapai kadar jualan 100 peratus.

Pencapaian itu adalah keupayaan pelaksanaan projek yang kukuh oleh syarikat serta keyakinan tinggi pembeli terhadap pembangunan berstatus pegangan bebas itu, yang terletak di kawasan strategik dengan rangkaian perhubungan yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Apollo Bello Tanco berkata, Amika Residences menawarkan 468 unit pangsapuri servis yang dibina dalam dua menara dengan konsep kediaman moden yang dikelilingi persekitaran hijau dan tenang.

Katanya, projek itu turut menampilkan taman pusat seluas sembilan ekar, pemandangan landskap yang menarik serta 24 unit ruang runcit bagi melengkapkan keperluan penghuni dan mewujudkan komuniti yang mampan.

“Projek ini telah merekodkan 1.7 juta jam bekerja selamat tanpa sebarang kemalangan yang mengakibatkan kehilangan waktu bekerja, sekali gus mencerminkan komitmen Avaland terhadap aspek keselamatan di tapak pembinaan dan amalan pembangunan yang bertanggungjawab.

“Amika Residences juga menerima Anugerah Landskap Terbaik (Kecemerlangan) serta pensijilan GreenRE Gold, sekali gus memperkukuh komitmen kami terhadap pembangunan lestari dan reka bentuk berkualiti.

“Kami berharap dapat menyerahkan projek ini kepada pembeli mengikut perancangan serta terus menyediakan persekitaran kediaman yang memberi nilai jangka panjang kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prospek syarikat, Apollo berkata, Avaland akan terus memperluaskan portfolio pembangunan dengan melancarkan beberapa projek baharu yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion sepanjang 2026.

Antara projek yang bakal diperkenalkan ialah Aetas Taman Desa, iaitu pembangunan kediaman mewah ketiga di bawah jenama Aetas, serta Accent Petaling Jaya yang disasarkan kepada segmen premium pertengahan atasan.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu dijangka meneruskan momentum positif susulan sambutan memberangsangkan terhadap fasa kedua Meria Commercial Hub di Cybersouth yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Tambahnya, pelancaran projek-projek baharu itu mencerminkan strategi Avaland untuk menawarkan kediaman yang memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran dengan penekanan terhadap kualiti, inovasi dan lokasi strategik, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Avaland turut memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang menerusi pengambilalihan tapak pegangan bebas seluas 1.9 ekar di Taman U-Thant, Kuala Lumpur, yang akan dibangunkan sebagai projek kediaman mewah dengan anggaran GDV sebanyak RM700 juta.

Langkah itu diyakini dapat memperkukuhkan bank tanah syarikat serta menyokong strategi pertumbuhannya melalui pembangunan di lokasi matang dan berpotensi tinggi. – UTUSAN

The post Amika Residences habis dijual, umum projek baharu GDV RM1bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved