
KUALA PILAH – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengambil langkah berani apabila meninggalkan kubunya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat untuk bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengumuman pencalonan itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kerusi yang bakal ditandingi Aminuddin selepas timbul desas-desus beliau akan beralih dari Sikamat ke Linggi.
Keputusan itu dilihat sebagai percaturan penting PH apabila Aminuddin memilih untuk bertanding di kawasan yang selama ini dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), berbanding mempertahankan kerusi yang disandangnya hampir dua dekad.
Aminuddin berkata, keputusan bertanding di Linggi bukan kerana kawasan itu mudah dimenangi, sebaliknya bagi membuktikan PH mampu memecahkan dominasi BN di kawasan berkenaan.
“Saya bertanding di Linggi kerana saya maklum bahawa Linggi adalah salah satu kubu Parti Barisan Nasional dan mereka telah menang banyak kali di situ dan pada tradisinya mereka menang di situ,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa Linggi merupakan ‘kerusi selamat’ untuknya.
“Itu bukan kerusi selamat. Itu adalah kubu kuat UMNO Barisan Nasional. Mereka tidak pernah kalah di situ. Kita pernah bertanding di situ dan kita kalah di situ.
“Kali ini saya bertanding di situ untuk pastikan bahawa saya akan cuba memastikan kita menang di situ, insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod, Aminuddin mula mewakili DUN Sikamat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila menewaskan calon BN dengan majoriti 499 undi selepas memperoleh 6,036 undi.
Beliau kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti 510 undi menerusi 8,584 undi, sebelum mencatat kemenangan lebih selesa pada PRU14 apabila memperoleh 9,832 undi dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Aminuddin sekali lagi mengekalkan penguasaan di Sikamat apabila meraih 12,730 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) serta dua calon Bebas dengan majoriti 2,662 undi.
Sebaliknya, DUN Linggi mempunyai sejarah berbeza apabila kekal menjadi kubu BN sejak sekian lama.
Pada PRN 2023, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd Faizal Ramli daripada BN dengan 7,832 undi dan majoriti 1,461 undi, menewaskan calon PN-Bersatu, Zamri Md Said yang memperoleh 6,371 undi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini menyaksikan sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan melibatkan lebih 889,400 pengundi berdaftar, dengan tumpuan kini terarah kepada kemampuan Aminuddin memecahkan dominasi BN di Linggi.






