amree27/07/2026 - 14:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Julai – MISC Berhad berpeluang mencatat keuntungan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 12% bagi tempoh tiga tahun akan datang, menurut AmInvestment Bank.
Perkembangan itu dijana kadar sewaan kapal tangki terus kekal tinggi susulan gangguan perdagangan global dan ketegangan geopolitik, yang mengukuhkan prospek pendapatan serta aliran tunai kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan tersebut disokong pertambahan 19 aset baharu, sumbangan besar kapal pengangkut gas asli cecair (LNG), serta pertumbuhan berterusan daripada perniagaan luar pesisir.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap MISC dengan harga sasaran (TP) RM9.50 sesaham menawarkan potensi pulangan 21%, disokong aliran tunai dan prospek dividen mampan," jelas AmInvest.
Ujarnya, segmen petroleum dijangka menjadi pemacu utama prestasi jangka pendek apabila kadar sewaan kapal tangki jenis 'Very Large Crude Carrier' (VLCC) kembali melonjak sejak penghujung Jun 2026.
Sementara itu tambahnya, kadar sewaan kapal bersaiz Suezmax terus meningkat manakala jenis Aframax kekal melebihi paras purata sebelum ini, dengan kumpulan dilihat berada dalam kedudukan strategik.

Kata AmInvest, kira-kira 30% pendedahan MISC kepada kadar pasaran semasa, dengan baki 70% portfolio kontrak jangka panjang dilindungi oleh kadar minimum yang mengurangkan risiko penurunan pendapatan.
"Selain segmen petroleum, perniagaan luar pesisir dijangka memacu pertumbuhan apabila pengeluaran minyak laut dalam diunjur berkembang pada CAGR sebanyak 4.5% sepanjang 2026 hingga 2030," ujarnya.
Firma itu menjangkakan 11 kontrak kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) akan diraih, dengan sembilan lagi projek pada 2027 yang bakal menyokong prospek jangka panjang.
Dalam segmen gas pula ujar AmInvest, sebanyak 19 aset baharu akan menyertai armada MISC termasuk tujuh kapal LNG, manakala kadar tempahan kapal baharu dijangka menyokong kadar sewaan masa depan.
Kumpulan dijangka menjana aliran tunai operasi RM5 bilion pada FY26, atau 14% daripada permodalan, dan menghasilkan pulangan aliran tunai bebas 6% selepas diambil kira segala perbelanjaan modal (capex).
"Pihak pengurusan yakin mampu mengekalkan dividen sesaham sebanyak 38 sen, dan kami mengunjurkan pulangan meningkat kepada 41.6 sen sesaham, bersamaan hasil dividen sekitar 5.2%," tambahnya lagi.
Gabungan semua faktor itu kata AmInvest, meletakkan MISC dalam kedudukan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan pendapatan dan memberi pulangan menarik kepada pemegang saham. - DagangNews.com






