amree27/07/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Julai – Tiong Nam Logistics Holdings Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih boleh diagihkan sebanyak 20.9% kepada RM33.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Kemerosotan tersebut maklumnya kepada Bursa Malaysia, disebabkan terutamanya berikutan ketiadaan insentif cukai satu kali yang pernah dinikmati syarikat berkenaan pada tahun kewangan 2025 (FY25).
Situasi itu jelas kumpulan tersebut, menyebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi sekali gus menjejaskan keuntungan nilai saksama apabila ia didapati lebih rendah daripada hartanah pelaburan.
"Bagaimanapun, dari segi prestasi operasi, syarikat logistik gergasi ini mencatatkan rekod hasil tertinggi sebanyak RM964.3 juta, meningkat kira-kira 12.5% berbanding FY25," kata Tiong Nam.
Lonjakan hasil ini menurut syarikat berkenaan, didorong oleh faktor peningkatan volum perniagaan dan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi sepanjang FY26 merentas rangkaian pergudangannya.
Segmen logistik dan pergudangan kekal sebagai penyumbang utama dengan peningkatan hasil 13.8% kepada RM932.8 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 34.4% kepada RM65.0 juta.
Bagi segmen pembangunan hartanah pula, Tiong Nam mencatatkan hasil sebanyak RM29.4 juta, namun meskipun hasil lebih rendah, ia berjaya mengecilkan kerugian sebelum cukai kepada RM4.4 juta.
Pengerusi Tiong Nam, Datuk Fu Ah Kiow berkata, syarikat melaksanakan pelan pengembangan rangkaian logistik bersepadu selama beberapa tahun untuk menangani permintaan pasaran yang kian meningkat.
"Kami akan menambah 1.9 juta kaki persegi kapasiti baharu bermula FY27, bagi meningkatkan jumlah keseluruhan ruang gudang kepada 12.4 juta kaki persegi menjelang FY29," katanya dalam kenyataan.
Menuju ke hadapan, Tiong Nam berada pada kedudukan strategik memanfaatkan peluang daripada penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui hab logistiknya di wilayah selatan. - DagangNews.com






