AmInvest Research kekal ‘overweight’ terhadap sektor REIT Malaysia disokong pemulihan segmen runcit dan hotel

Business & Finance
26 Jun 2023 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvest Research kekal ‘overweight’ terhadap sektor REIT Malaysia disokong pemulihan segmen runcit dan hotel

diyana

26/06/2023 - 12:43

​​​​​​KUALA LUMPUR 26 Jun - AmInvest Research kekal ‘overweight’ terhadap sektor Real Estate Investment Trust (REIT) Malaysia yang diunjur pulih tahun ini disokong oleh segmen runcit dan hotel.

Sementara itu, ketibaan pelancong antarabangsa mungkin menyokong perbelanjaan penggunaan, katanya.

“Oleh itu, dengan potensi penamatan kenaikan kadar dana Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada separuh kedua tahun ini, kami melihat peluang pembelian unit REIT Malaysia memandangkan spread kadar hasil semakin melebar berbanding kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) MGS 10-tahun bersama kadar hasil pengedaran menarik sebanyak 6 hingga 10%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu berkata demikian susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini, di mana pengawal selia telah memberi gambaran untuk menyemak menaik unjuran kadar dana Fed terminal kepada 5.6% daripada 5.1% pada Mac 2023.

Jelasnya, kadar dana Fed memuncak menjelang suku ketiga tahun ini, di mana ahli ekonomi AmInvest Research menjangkakan ia antara 5.5 hingga 5.75%, daripada 5.25 hingga 5.5% sebelum ini.

“Berdasarkan kebarangkalian kadar faedah dunia (WIRP) terkini Bloomberg, konsensus pasaran menjangkakan pemotongan kadar Amerika Syarikat (AS) akan berlaku paling awal pada suku pertama tahun depan.

“Dengan jangkaan berakhirnya pengetatan dasar monetari global, pakar ekonomi kami meramalkan MGS 10 tahun lebih rendah pada 3.75%, daripada ramalan sebelumnya 3.8 hingga 4% pada suku keempat tahun ini dengan penurunan beransur-ansur kepada 3.5% menjelang suku keempat tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa kadar hasil MGS 10 tahun mungkin lebih rendah daripada unjuran itu sekiranya terdapat perubahan dalam sikap hawkish Fed mengenai kenaikan kadar.

AmInvest Research berkata ia menyukai REIT dengan aset berkualiti tinggi yang terletak di lokasi strategik dan mempunyai hasil dividen kukuh.

Selain itu, firma mengutamakan REIT dengan portfolio dalam aset runcit dan hotel, yang kedua-duanya dijangka pulih tahun ini.

Saham teratas pilihan firma itu adalah Pavilion REIT (FV: RM1.62), Hektar REIT (FV: RM0.81) dan YTL REIT (FV: RM1.10). - DagangNews.com