Prospek pendapatan Lotte Chemical Titan masih lemah akibat sektor petrokimia dalam kitaran menurun – HLIB Research
diyana
23/06/2023 - 16:25
KUALA LUMPUR 23 Jun - Prospek sektor petrokimia kekal merosot tahun ini dan kini mengalami kitaran menurun, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata permintaan lemah akibat kelembapan ekonomi dan kadar faedah lebih tinggi, memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.
Walaupun pembukaan semula China telah mencetuskan pembelian spekulatif dalam polimer, firma itu berkata ia membawa kepada lantunan sementara dalam harga polimer pada suku pertama tahun ini.
Permintaan yang kurang memberangsangkan di seluruh dunia telah menyebabkan harga polimer meneruskan trajektori menurunnya, katanya dalam nota analisis teknikal hari ini.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan harga polimer kekal tertekan berikutan bekalan tambahan dan permintaan lemah. Kami difahamkan bahawa loji petrokimia baharu yang tertangguh akibat daripada pandemik COVID-19 beransur-ansur beroperasi, menambah bekalan," jelasnya.
Menurut HLIB, Analisis Pasaran Kimia mengunjurkan bahawa pertumbuhan bekalan polimer dan monoetilena glikol (MEG) global akan mengatasi pertumbuhan permintaan tahun ini.
Dari segi kos, walaupun harga naphtha juga telah selaras dengan harga minyak, firma itu berkata penurunan harga polimer telah mengatasi naphtha.
Firma itu berkata keadaan ini terutamanya didorong oleh pengurangan pengeluaran OPEC+, yang telah menyokong harga minyak dan seterusnya mempengaruhi harga naphtha.
Oleh itu, penurunan ketara dalam penyebaran produk telah berlaku dan melembapkan potensi pendapatan Lotte Chemical Titan Holding Bhd.
Firma itu percaya prospek pendapatan kumpulan itu kekal lemah dan tidak menentu memandangkan dinamik mencabar itu tidak menunjukkan tanda-tanda peningkatan.
“Rintangan adalah kritikal pada RM1.27 hingga RM1.34. Dengan persekitaran operasi dijangka mencabar dan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang lemah, pemulihan teknikal pada masa ini akan memberi peluang untuk mengurangkan pendedahan.
“Halangan sengit ditambat pada RM1.27 (garisan trend menurun dari tinggi 2Y), RM1.30 dan RM1.34 (200D MA). Sokongan utama terpancang pada tahap RM1.18 (20D MA), RM1.10 (rendah 52W) dan tahap psikologi RM1.00. Hentikan kerugian (cut loss) pada RM1.35,” katanya. - DagangNews.com

