AmInvestment turunkan penarafan sektor teknologi berpunca ketidaktentuan dasar Tarif Trump

18/04/2025 - 16:59
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 18 April — Sektor teknologi Malaysia diturunkan taraf oleh AmInvestment Bank yang turut membuat penetapan semula dalam jangkaan, susulan kesan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dijangka lebih luas dan keras berbanding ramalan.
Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan sektor berkenaan kepada "neutral" berbanding "overweight" sebelum ini.
Katanya, situasi ketidakpastian secara berterusan pada ketika ini boleh membawa kepada kelemahan permintaan yang lebih luas ke atas produk sektor tersebut dan penangguhan perbelanjaan modal oleh syarikat berkaitan.
"Walaupun kedudukan tarif Malaysia agak menggalakkan berbanding beberapa negara serantau lain, penyelesaian dasar yang ditangguhkan sementara mungkin menghalang aliran pelaburan," kata AmInvestment dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu turut memberi amaran berhubung perkembangan kali ini serta telah memotong ramalan pendapatan dan nisbah harga kepada pendapatan sasaran, sebagai tindak balas kepada prospek pertumbuhan yang diramal lebih lemah.
Secara khusus, ia menyemak semula unjuran hasil FY25 sebelum ini berkembang sebanyak 13 peratus dan pendapatan adalah 23 peratus untuk syarikat teknologi di bawah liputannya, dengan harga sasaran (TP) turut diturunkan.
Selain itu, AmInvestment menjangkakan penurunan 16 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan 2025 untuk sektor teknologi di bawah liputannya, berbeza dengan unjuran konsensus yang mengunjurkan pertumbuhan 31 peratus.
Berikutan pelarasan ini, saranan ke atas ViTrox Corporation Berhad dan Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) telah diturunkan daripada "beli" kepada "pegang".
Firma penyelidikan itu mengurangkan TP sesaham untuk ViTrox daripada RM4.40 kepada RM2.40 manakala MPI pula daripada RM27.80 kepada RM13.
Sementara itu, ia menurunkan TP terhadap Inari Amertron Berhad kepada RM1.50 berbanding RM2.05 dan Pentamaster Corporation Berhad kepada RM2.45 daripada RM3.25, sambil mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham mereka.
AmInvestment namun masih mengekalkan saranan terhadap Greatech Technology Bhd dan VS Industry Bhd pada "beli", disokong oleh pendedahan pelanggan AS yang kukuh dan keupayaan mengemudi landskap tarif.
Ia bagaimanapun mengurangkan TP sesaham untuk Greatech kepada RM1.60 berbanding RM2.60 manakala VS Industry kepada 85 sen daripada RM1.45. - DagangNews.com
standard


