Sektor semikonduktor, elektronik lindungi Malaysia dari kesan Tarif Trump - AMRO

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor semikonduktor, elektronik lindungi Malaysia dari kesan Tarif Trump - AMRO

image is not available

15/04/2025 - 15:56

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 April - Malaysia dijangka kekal berdaya tahan menghadapi kesan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) berikutan asas ekonomi yang kukuh, momentum pelaburan yang positif dan kedudukan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Walaupun unjuran pertumbuhan serantau ASEAN+3 dijangka mencatatkan kadar terendah sejak pandemik Covid-19, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 4.7% pada 2025, sedikit perlahan berbanding 5.1% pada 2024.

Ketua Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Hoe Ee Khor berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak terlindung berbanding negara lain, berikutan kekuatan dalam sektor elektronik dan semikonduktor.

"Malaysia kini sangat berjaya menarik pelaburan kerana memiliki kluster elektronik dan semikonduktor yang kukuh," katanya dalam sidang media maya ketika membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Serantau 2025 AMRO.

Sebagai contoh, katanya, Intel telah bertapak di Malaysia sejak 1970-an dan kini negara turut menjadi tumpuan pelaburan pusat data dan kemudahan awan, sejajar dengan usaha naik taraf rantaian nilai.

Malaysia juga dilaporkan membayar Arm Holdings plc sebanyak RM1.1 bilion dalam tempoh 10 tahun bagi lesen dan kepakaran berkaitan semikonduktor.

Katanya, sektor semikonduktor yang setakat ini dikecualikan daripada senarai tarif baharu AS, dijangka terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Pengecualian ini banyak membantu mengurangkan kesan buruk tarif, berbanding sektor lain seperti perabot dan pembuatan bernilai tambah rendah yang lebih terjejas," jelasnya.

Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN+3 dijangka menurun kepada sedikit melebihi 4% pada 2025, berbanding 4.3% pada 2024.

Dalam senario paling buruk, pertumbuhan boleh jatuh di bawah paras 4%.

Laporan itu turut menyentuh tentang pelaksanaan tarif baharu oleh AS yang disifatkan sebagai kejutan besar kepada rantau ini, dengan kadar purata 28% dikenakan ke atas negara-negara ASEAN+3, lebih tinggi berbanding tarif terhadap India dan Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun Malaysia tidak tergolong dalam kalangan negara yang paling terdedah, AMRO memberi amaran, sektor bukan teknologi seperti perabot dan eksport pembuatan bernilai tambah rendah berisiko terjejas.

"Beberapa industri sudah mula menghantar produk mereka sebelum tarif penuh dikuatkuasakan," kata Ee Khor.

Namun begitu, beliau menegaskan, ekonomi Malaysia cukup fleksibel dan sektor yang terkesan boleh disusun semula dengan sokongan dasar serta langkah yang bersesuaian. - DagangNews.com

standard