Amir Hamdan dilantik sebagai Presiden & CEO Prasarana

18/08/2025 - 09:13
Amir Hamdan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pelantikan Amir Hamdan sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd berkuat kuasa 15 Ogos 2025 mampu memperkukuhkan sistem pengangkutan awam negara selaras agenda nasional.
Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, kepimpinan Amir yang berwibawa serta berteraskan budaya kerja syarikat telah membuktikan kemampuannya mengemudi organisasi ke tahap lebih tinggi.
“Lembaga pengarah yakin beliau akan terus membawa Prasarana mencapai pencapaian lebih besar, seiring usaha negara memperkukuh sistem pengangkutan awam untuk manfaat rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Amir, yang memangku jawatan itu sejak 1 Julai lalu, disahkan pelantikannya selepas lembaga pengarah menilai kepimpinan dan pencapaiannya sepanjang bersama syarikat sejak 2019.
Sementara itu, Amir menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar dan menegaskan komitmennya untuk memperkukuh rangkaian pengangkutan awam melalui pendekatan inklusif, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.
“Dengan sokongan semua warga kerja Prasarana, saya percaya kita mampu melonjakkan organisasi ini ke tahap kecemerlangan lebih tinggi demi kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.
Sepanjang enam tahun bersama Prasarana, Amir telah menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
Beliau turut membawa pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kewangan, operasi dan strategi korporat.
Sebagai operator pengangkutan awam utama negara, Prasarana bertanggungjawab mengendalikan rangkaian LRT, MRT, Monorel Kuala Lumpur dan Rapid Bus, selain menjadi pemilik aset rel bandar.
Syarikat itu turut menguruskan operasi bas di beberapa bandar utama serta menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan berkaitan pengangkutan awam. - DagangNews.com
standard


