Maxis dan China Mobile perkenal CMLink tingkatkan hubungan komunikasi pengguna dua negara

18/08/2025 - 16:57
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Maxis Berhad menjalin kerjasama strategik dengan China Mobile International (CMI) untuk melancarkan CMLink, perniagaan Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) milik CMI di negara ini.
CMLink akan beroperasi menggunakan rangkaian nasional Maxis dengan memanfaatkan jaringan mudah alih 4G dan 5G yang pantas, diyakini dan selamat.
Maxis berkata, ia akan menyediakan infrastruktur gentian optik yang meluas berserta rangkaian mudah alih moden untuk memastikan penggunaan data dan suara yang lancar serta memenuhi keperluan rangkaian CMI di Malaysia.
“Kecemerlangan rangkaian Maxis telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk prestasi kelajuan dan pengalaman pengguna yang memuaskan.
“Pelancaran CMLink ini adalah permulaan awal CMI dalam menceburi pasaran MVNO di Malaysia, selepas kejayaan pelancarannya di negara-negara seperti United Kingdom, Singapura, Jepun, Thailand dan Itali,” kata Maxis dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian itu dimeterai sempena Persidangan Kerjasama China Mobile SEA 2025 di Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu, yang akan mengukuhkan lagi kolaborasi berterusan antara kedua-dua syarikat untuk mempercepatkan pertumbuhan dan inovasi dalam sektor telekomunikasi.
Antara ciri utama perkhidmatan ini ialah 1CMN (satu kad, pelbagai nombor) dan perkongsian data China-Malaysia, yang direka khas untuk pelajar serta profesional yang tinggal atau melancong ke Malaysia, bagi memastikan sambungan mudah antara kedua-dua negara.
Kerjasama itu dibina atas asas hubungan jangka panjang antara Maxis dan CMI, yang diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada Ogos 2024 bagi mempercepat inisiatif 5G dan menggalakkan inovasi digital.
Inisiatif MVNO itu adalah bukti komitmen Maxis dalam memajukan ekosistem telekomunikasi maya di Malaysia serta kesediaannya menyokong rakan kongsi yang inovatif dalam bidang tersebut.- DagangNews.com
standard

