
KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal dan usahawan, Amir Raja Lawak mengakui dirinya tidak mampu menahan air mata ketika bertemu pempengaruh media sosial, Ammar atau lebih dikenali sebagai Budak46, yang kini berdepan penyakit retinitis pigmentosa.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Amir berkata dia sudah beberapa kali menangis ketika menonton video Ammar dipimpin adiknya, namun perasaan itu menjadi jauh lebih sukar dikawal apabila mereka bertemu secara bersemuka.
“Bila saya berdepan dengan Ammar, suara saya dah bergetar. Tak sampai lima minit bercakap dengar luahan dan cerita dia, terus air mata saya tumpah,” tulisnya.
Bukan Kerana Simpati, Tetapi Kerana Jiwa Yang Sangat Kuat
Menurut Amir, perkara yang paling menyentuh hatinya bukan sekadar keadaan penglihatan Ammar yang semakin terjejas, sebaliknya semangat luar biasa anak muda itu yang tetap menghasilkan kandungan untuk menghiburkan orang ramai.
Katanya, sejak dikenali sebagai ikon video ‘slow-mo’ Budak46, Ammar tidak pernah berhenti berkongsi video dan gambar walaupun menghidap retinitis pigmentosa, malah sebelum ini ramai tidak mengetahui dia sebenarnya sedang bergelut dengan penyakit berkenaan.
Lebih menyentuh hati, Amir berkata ketika ibunya memanggil Ammar keluar dari bilik dan bertanya sama ada dia mengenali tetamu yang datang, Ammar terus menjawab, “Kenal, Amir”, walaupun kunjungan itu tidak dimaklumkan lebih awal.
Amir turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang memeluk Ammar, sesuatu yang diakui ingin dilakukannya sejak melihat video Ammar berjalan sambil dipimpin adik kandungnya.
Pernah Dikecam, Kini Ramai Mendoakan Ammar
Sebelum ini, The Malaysian Update melaporkan kisah Ammar yang menjadi perhatian ramai selepas orang ramai mengetahui dia menghidap retinitis pigmentosa, penyakit yang menyebabkan penglihatannya semakin merosot.
Pendedahan itu mengubah persepsi ramai, khususnya selepas Ammar sebelum ini pernah menerima kecaman kerana tidak menyedari terdapat kulat pada sebiji kek ketika menghasilkan kandungan video. Selepas keadaan sebenar diketahui, ruangan komen media sosial dibanjiri doa, kata-kata semangat dan sokongan buatnya.
Perkongsian Amir kali ini sekali lagi membuka mata ramai bahawa di sebalik senyuman dan kandungan yang menghiburkan, Ammar sebenarnya sedang melalui ujian yang cukup besar dengan penuh tabah.
Di akhir perkongsiannya, Amir turut mengajak orang ramai terus mendoakan agar Allah mengurniakan kesembuhan kepada Ammar serta memberikan sokongan kepada kandungan yang dihasilkannya di media sosial. – The Malaysian Update
The post Amir Raja Lawak Menangis Bertemu Ammar Budak46, Ketabahan Anak Muda Itu Buat Ramai Turut Sebak appeared first on The Malaysian Update.


