
PENYANYI Amira Othman menamatkan teka-teki para peminat selepas mengumumkan dirinya sedang hamil dan bakal menimang cahaya mata sulung pada penghujung Jun atau awal Julai depan.
Amira atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 33, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyorokkan berita gembira itu daripada umum.
"Saya rasa sudah tiba masa kan saya kongsi berita baik ini dan dengan ini saya juga ingin menjelaskan tiada niat untuk menyorok atau merahsiakan dan sebagainya.
"Pada saya, kita orang Islam dan pasti benda-benda yang baru, masih fragile kita pilih untuk tidak kongsi dahulu untuk mengelakkan banyak perkara.

"Jadi, hari ini saya kongsikan memang saya sedang hamil 30 minggu, Alhamdulillah. Saya mohon doa daripada kalian agar dipermudahkan urusan kandungan dan urusan bersalin saya," titipnya.
Dalam masa yang sama, pelantun Dalam Sujudku dan Rasa & Takdir berkenaan mengakui pengumuman itu dibuat memandangkan kandungan yang semakin sarat tidak dapat disorok lagi.
Meminta titipan doa yang baik, Amira mendedahkan ia juga bagi mengotakan janji kepada media.

"Semuanya adalah rezeki sudah ALLAH tulis hari ini. Saya nak launch produk ni memang kebetulan Mam cakap sesuai untuk orang mengandung.
"Jadi saya pun rasa perut saya tak boleh hendak disembunyikan, jadi saya kongsilah berita baik ini.
"Saya pun sudah berjanji dengan rakan-rakan media yang saya kongsi pada waktu yang paling baik dan hari ini saya lunaskan janji ini dengan persetujuan suami saya, keluarga, ustaz-ustaz.
"Jadi saya mohon doa yang baik-baik doa. Benda yang tak baik kita jangan sebut," tuturnya," kongsinya.
Terdahulu, Amira dan suami, Fattah Amin diijab kabul pada 14 September 2025.






