Amirudin yakin gelombang sokongan memihak PH

LocalPolitics
10 Jul 2026 • 1:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Amirudin yakin gelombang sokongan memihak PH
Amirudin percaya gelombang sokongan terhadap PH akan berterusan sehingga hari pengundian dan diterjemahkan melalui keputusan di peti undi.

JOHOR BAHRU - Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih sengit menjelang hari pengundian pada Sabtu.

Menurutnya, sejak minggu pertama kempen lagi, kedua-dua gabungan itu saling mengejar sokongan pengundi.

"Pertandingan masih lagi sengit. Daripada minggu pertama lagi, persaingan melibatkan PH dan BN saling mengejar antara satu sama lain.

"Namun kita begitu yakin dengan sambutan daripada rakyat khususnya pada beberapa hari terakhir," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Grand Finale Pakatan Harapan Johor Selatan DUN Puteri Wangsa di Padang Awam Taman Pelangi Indah pada malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai prospek PH untuk memenangi PRN Johor pada 11 Julai.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau percaya gelombang sokongan terhadap PH akan berterusan sehingga hari pengundian dan diterjemahkan melalui keputusan di peti undi.

"Insya-ALLAH, saya percaya gelombang itu akan berterusan sampai hari mengundi dan diterjemahkan di peti undi. Namun kita berharap agar semakin ramai rakyat turun dan memberikan sokongan.

"Kalau tertarik dengan Pakatan Harapan, khususnya manifesto yang kita bentangkan dan kesinambungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan adalah pilihan terbaik untuk Johor kali ini," jelasnya.

PRN Johor kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih layak mengundi di 1,140 pusat mengundi.

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved