AMK gesa kerajaan lancar pakej ransangan ekonomi, fokus bantuan sara hidup

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 8:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
AMK gesa kerajaan lancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi menguruskan krisis berskala besar yang berlaku di negara ini susulan kemelut geopolitik melibatkan Asia Barat.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi menguruskan krisis berskala besar yang berlaku di negara ini susulan kemelut geopolitik melibatkan Asia Barat.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, langkah pengendalian ekonomi itu bertujuan memberi fokus kepada aspek bantuan kos sara hidup, penstabilan rantaian bekalan dan logistik serta sokongan kepada perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ujar beliau, ia juga perlu meliputi perlindungan pekerjaan dan pendapatan serta langkah penjimatan tenaga.

“Kelewatan dalam melaksanakan pakej rangsangan ini hanya akan menyebabkan rakyat berhadapan dengan kejutan inflasi tanpa persediaan.

“Dalam masa sama, kerajaan perlu menubuhkan pasukan komunikasi kecemasan negara bagi memastikan rakyat diberi penerangan yang jelas, jujur dan konsisten tentang situasi sebenar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.

Anwar berkata, langkah tersebut bersifat sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu.

Menurut Nabil, negara juga wajar melaksanakan langkah penjimatan tenaga secara tersusun termasuk pelaksanaan kerja dari rumah dan pengurangan kebergantungan kepada penggunaan bahan api.

“Ini bukan masa untuk pendekatan populis, tetapi masa kepimpinan berani membuat keputusan yang mungkin sukar, tetapi perlu.

“Jika kita gagal menyediakan langkah dan persiapan awal membantu ekonomi dan mental rakyat hari ini, kita akan berhadapan dengan krisis yang jauh lebih besar dalam masa terdekat.

“Malaysia masih mempunyai ruang untuk bertindak, namun ruang itu semakin sempit dan menuntut tindakan segera, tegas dan berani,” ujarnya.

Kata beliau, sudah tiba masa untuk rakyat mengambil pendekatan bersedia, berjimat cermat dan menyesuaikan diri dengan realiti ekonomi baharu ketika ini.

“Cabaran terbesar hari ini bukan sahaja ekonomi akan tetapi kesiapsiagaan mental rakyat yang masih rendah.

“Dalam saat dunia sedang berdepan krisis, sikap ini menunjukkan bahawa kita masih belum benar-benar sedar betapa besar cabaran yang sedang menghampiri,” kata beliau.