SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan orang ramai agar tidak mempermainkan agama dan kesucian al-Quran atas alasan kebencian politik, susulan komen yang didakwa dikaitkan dengan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, komen berkenaan didakwa mengaitkan perkataan “lighad”, yang membawa maksud hari esok, dengan perkataan berunsur lucah bagi tujuan sindiran politik.
“Mempermainkan perkataan yang terkandung dalam ayat suci al-Quran dengan sindiran berunsur seksual adalah perbuatan biadab, tidak bertanggungjawab dan melampaui batas.
“Kebencian terhadap Perdana Menteri bukan alasan untuk mempersendakan kesucian agama. Jika mahu mengkritik kerajaan, bahaskan dasar dan pelaksanaannya. Jangan jadikan al-Quran bahan ejekan semata-mata untuk menyerang lawan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, AMK menerusi wakil Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Amir Zuhair, telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Danish turut mengingatkan seluruh rakyat supaya berpolitik dengan adab serta menghormati agama Islam dan agama-agama lain.
Tegasnya, perbezaan pendirian politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyentuh sensitiviti agama sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
“Kami menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap individu berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sekiranya wujud kesalahan yang boleh dibuktikan.
“Perkara ini perlu menjadi pengajaran kepada semua bahawa persaingan politik tidak memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk menghina agama,” katanya.



