AMK Melaka sokong PRN tangguh

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 6:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AMK Melaka sokong PRN tangguh
Hakimin

MELAKA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka menyokong cadangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negeri.

Ketua AMK Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, langkah tersebut wajar dipertimbangkan kerana penganjuran pilihan raya dalam masa terdekat berpotensi mengganggu momentum pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya, cadangan penangguhan PRN bukanlah satu bentuk pelarian politik, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab kepimpinan yang mengutamakan kelangsungan hidup rakyat berbanding percaturan kuasa.

“Dalam mendepani gelora geopolitik dunia yang tidak menentu, fokus kita tidak seharusnya terbahagi, sebaliknya perlu ditumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh benteng ekonomi domestik demi kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita harus mengakui bahawa penganjuran pilihan raya dalam waktu terdekat hanya akan mengganggu momentum pemulihan ekonomi negeri yang sedang giat berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan menangguhkan PRN, kerajaan mempunyai ruang untuk melaksanakan mandat sedia ada dengan lebih berkesan tanpa gangguan politik.

“Rakyat Melaka kini lebih memerlukan kestabilan harga barangan dan jaminan peluang pekerjaan daripada melihat bendera parti memenuhi jalanan.

“Ini adalah masa untuk kita bekerja, bukan masa untuk berkempen,” tambah beliau.

Justeru, katanya, AMK Melaka menyokong penuh agar kestabilan negeri dipelihara sehingga keadaan benar-benar mengizinkan.

“Tindakan ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak tamak kuasa, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat jauh lebih tinggi daripada kepentingan peti undi.

“Kita mahu apabila pilihan raya diadakan kelak, ia berlangsung dalam suasana yang tenang dan sejahtera, di mana rakyat boleh memilih dengan fikiran yang lapang tanpa bebanan krisis ekonomi yang menghimpit. Kestabilan rakyat adalah maruah perjuangan kita,” katanya.

PRN Melaka diadakan pada November 2021 dan mandatnya dijangka tamat pada akhir tahun ini.