Ammar Alfian nafi dera, dakwa difitnah kerana wajah garang dan tubuh besar

LocalEntertainment
21 Apr 2025 • 9:46 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pelakon Ammar Alfian akhirnya bersuara selepas namanya dikaitkan dengan dakwaan mendera seorang wanita, yang sebelum ini memuat naik gambar kecederaan dan mesej peribadi di media sosial.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Ammar menafikan semua tuduhan tersebut dan menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menjatuhkan imejnya.

Menurutnya, fizikalnya yang besar serta wajah yang kelihatan garang sering dijadikan alasan untuk menggambarkannya sebagai agresif.

“Awak gunakan karakter saya untuk fitnah. Tahun lepas pun awak buat perkara sama, tapi saya biarkan. Kali ini awak ulang semula, dan libatkan orang yang tak ada kena-mengena pula,” tulisnya, dipercayai merujuk kepada Gan Xue Zane, individu yang turut dinamakan oleh wanita berkenaan.

Jelas Ammar, dia tidak akan berdiam diri lagi dan memilih untuk menyelesaikan isu ini melalui jalan undang-undang.

“Saya akan hadap semuanya secara sah. Jangan terus percaya sebelah pihak. Kita ikut proses undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, wanita yang dikenali sebagai Qhaisha telah membuat pendedahan berani mengenai penderaan fizikal dan emosi yang didakwanya dilakukan oleh Ammar Alfian. Dia turut berkongsi gambar lebam, mata berdarah serta mesej yang menunjukkan ugutan dan manipulasi emosi. Qhaisha mendakwa dia juga dipaksa menandatangani kontrak palsu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dia memaklumkan laporan polis telah pun dibuat terhadap Ammar dan seorang wanita lain yang didakwa turut terlibat.