KOTA KINABALU - Ibu kepada seorang saksi kanak-kanak mendedahkan anaknya memaklumkan kejadian melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika mereka bertemu di Stadium Hoki Likas pada hari pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar.
Saksi berusia 41 tahun itu merupakan individu ke-66 yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini dalam inkues kematian Zara Qairina.
Menurutnya, anaknya memaklumkan perkara itu selepas selesai menyertai pertandingan hoki pada 16 Julai tahun lalu dalam keadaan menangis teresak-esak.
"Anak saya telah memberitahu bahawa rakannya, iaitu arwah Zara, jatuh dari bangunan asrama dan meminta untuk saya mendoakan rakannya tersebut.
"Dia tidak menceritakan dengan lebih lanjut ketika itu. Saya melihat anak saya pada masa itu berada dalam keadaan emosi, tertekan dan menangis teresak-esak.
"Hampir tiga bulan kemudian, barulah anak saya menceritakan dengan lebih lanjut apa yang dia tahu berkenaan kejadian tersebut. Dia menceritakan kepada saya tentang suatu kejadian yang berkait dengan kes kematian Zara," katanya semasa membacakan keterangan saksi yang disediakannya dalam prosiding tersebut pada Rabu.
Saksi turut memaklumkan bahawa anaknya pernah dipanggil memberi keterangan semasa perjumpaan pelajar di sekolah, namun berdepan situasi yang menjejaskan emosinya.
"Anak saya telah menceritakan semuanya, tetapi anggota polis wanita itu telah meninggikan suara dan bertanya, 'kenapa pergi ke blok A pada masa itu'.
"Apabila anggota polis wanita itu meninggikan suara, anak saya telah menangis dan kemudian seorang anggota polis lelaki menenangkan anak saya sebelum dia menceritakan semuanya kepada anggota polis tersebut. Bagaimanapun, anak saya tidak tahu sama ada ceritanya direkodkan atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, anaknya mengalami kesan emosi yang mendalam selepas kejadian tersebut.
"Anak saya lebih banyak berdiam diri dan seperti menyalahkan diri sendiri serta sering ‘menggigil’ akibat trauma melampau ekoran kejadian di asrama tersebut.
"Apabila kami bertanya tentang Zara, dia hanya berkata, 'ibu, sedekahkan Al-Fatihah sahaja untuk arwah'. Saya melihat emosinya tidak stabil.
"Anak saya ada memaklumkan bahawa sehari sebelum kejadian, dia nampak Zara tidak ceria seperti biasa dan apabila ditegur, Zara hanya tersenyum sahaja tanpa berinteraksi.
"Anak saya menyalahkan dirinya kerana tidak bercakap dengan Zara kerana mungkin sekiranya dia ada berbual dengan Zara, kejadian tersebut mungkin tidak akan berlaku. Sememangnya, anak saya sibuk dengan pertandingan dan latihan hoki sekolah," katanya.
Tambahnya, beliau hanya mengetahui secara lebih terperinci mengenai kejadian itu selepas anaknya memaklumkan kepadanya beberapa bulan kemudian.
"Anak saya memaklumkan bahawa dia tidak terus memberitahu perkara itu selepas kejadian kerana masih trauma. Setiap kali perkara berkenaan Zara disebut atau dibangkitkan, anak saya tidak dapat menjawab dan hanya menangis.
"Kejadian Zara sangat memberi impak kepada anak saya kerana dia mengenali Zara secara peribadi. Saya dan keluarga cuba sebaik mungkin untuk membantu anak saya," katanya.
Menurutnya, susulan pendedahan tersebut, beliau mengambil keputusan menghubungi seorang guru di sekolah berkenaan sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan keterangannya diambil oleh polis.


