KOTA KINABALU - Saksi ke-65 dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia hanya berjumpa dan berinteraksi dengan pelajar itu sekitar 10 minit sebelum keesokan harinya ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah menengah agama di Papar, pada 16 Julai tahun lalu.
Saksi yang juga seorang kanak-kanak dan pelajar di sekolah itu berkata demikian ketika ditanya oleh pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu.
Peguam, Shahlan Jufri berkata, saksi menceritakan bahawa sebelum itu dia keluar dari dormnya di blok B untuk ke blok A bagi bertemu rakannya berkaitan kerja sekolah berkumpulan.
Menurut Shahlan, dalam keterangannya, saksi menyatakan dia ada berjumpa dengan Zara Qairina di blok A di hadapan tandas berhampiran dorm pelajar tersebut di aras tiga.
"Saksi menyatakan dia melihat seorang pelajar perempuan keluar dari tandas aras tiga, dan ketika itu dia berada di koridor aras dua. Saksi menyatakan bahawa dia mencongak dan mendongakkan kepalanya dari koridor sebelum melihat Zara. Dia nampak Zara keluar dari tandas dan mundar-mandir. Selepas itu, dia ke aras tiga lalu menepuk bahu Zara dan di situlah berlaku perbualan singkat.
"Bagi kami singkat kerana dia memberitahu Zara menangis teresak-esak. Zara memberitahu dia mahu berpindah sekolah dan mahu terjun. Selepas itu, saksi menjawab, 'kalau kau terjun, kau ingat kau masuk syurga'. Apabila kami bertanya sama ada itu sahaja perbualan, saksi mengatakan ya dan selepas itu dia membawa Zara ke dormnya.
"Mengikut saksi, kejadian itu berlaku selama 10 minit dan itu sahaja perbualan mereka. Jadi apabila kami bertanya apa lagi yang berlaku dalam tempoh tersebut, kerana pasti ada perbualan lain selain daripada tiga perkara yang saya sebutkan tadi, saksi mengatakan tempoh 10 minit itu merangkumi saat dia menepuk bahu Zara, berinteraksi dengannya dan membawanya ke hadapan dorm sebelum pulang semula ke biliknya. Kejadian itu berlaku sekitar jam 1 pagi," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Shahlan turut berkata, saksi menyatakan bahawa dia bukan rakan rapat Zara Qairina dan mereka hanya berkawan biasa.
"Tetapi mengikut keterangan bertulis, saksi menyatakan pernah berjumpa beberapa kali dengan Zara, namun bukan secara temu janji, sebaliknya secara kebetulan seperti di surau. Mereka pernah berbincang mengenai kerja sekolah dan cerita hantu. Ketika itulah saksi mengatakan Zara pernah menyuarakan hasrat untuk membunuh diri.
"Apabila kami bertanya mengenai keadaan emosi mereka, saksi menyatakan keadaan adalah biasa. Maksudnya, ketika mereka berbual mengenai kerja sekolah dan cerita hantu, Zara menyuarakan perkara itu secara bergurau.
"Apabila ditanya apakah ungkapan sebenar, saksi tidak mengingatinya. Kejadian itu berlaku semasa mereka berada di surau ketika solat Zuhur," katanya.
Sementara itu, mengulas sebab saksi hanya tampil selepas tiga bulan, Shahlan berkata, saksi berasa bimbang dan risau berlaku salah faham oleh pihak media dan warga maya.
"Saksi mengatakan dia risau dan takut berlaku salah faham daripada media serta netizen kerana dia merupakan orang terakhir yang berjumpa dengan Zara dan khuatir akan dipersalahkan.
"Kami juga bertanya sama ada dia ada mendengar apa-apa mengenai Zara di sekolah. Saksi menyatakan dia ada mendengar daripada pelajar senior mengenai dakwaan buli, termasuk Zara pernah disuruh mengambil air dan memasak mi segera.
"Apabila ditanya siapa pelajar yang menyatakan perkara itu, saksi mengatakan ia adalah junior Zara, namun tidak dapat mengenal pasti individu tersebut. Ditanya juga sama ada dia tahu jika senior pernah memanggil Zara, saksi mengatakan tidak tahu," katanya.
Sebelum itu, Shahlan hadir bersama rakan sepasukannya iaitu Datuk Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Datuk Ram Singh bersama rakan sepasukannya, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan merupakan peguam yang mewakili Pelajar A, iaitu antara lima remaja yang dikaitkan dalam kes tersebut.
Sementara itu, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan mewakili empat lagi pelajar lain yang turut terlibat dalam inkues tersebut.
Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


