
KUALA LUMPUR: Perkongsian seorang wanita mengenai keadaan bapanya yang disahkan menghidap tuberkulosis (TB) mengundang perhatian ramai apabila dia turut mendedahkan kehilangan abangnya akibat penyakit sama pada tahun lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, pemilik akaun @intan_yusof_ memaklumkan bapanya kini berdepan jangkitan TB yang serius sehingga menjejaskan keadaan paru-parunya.
Menurut wanita itu, abangnya meninggal dunia tahun lalu akibat TB selepas menjalani rawatan selama enam bulan, sekali gus membuatkan dia bimbang perkara sama berulang kepada bapanya.
“Abah saya telah sah positif TB, TB stage kuat, paru-paru sebelah dah rosak.
“Arwah abang saya tahun lepas meninggal sebab TB juga. Doktor bagi masa enam bulan on ubat tapi abang saya tak boleh survive,” katanya.
Bimbang Lihat Keadaan Bapa Jalani Rawatan
Wanita itu turut berkongsi keadaan bapanya yang berusia 72 tahun dan mengalami kesan sampingan yang kuat selepas mengambil ubat TB.
Katanya, bapanya mengalami sakit kepala yang teruk, loya dan muntah sehingga dia sendiri berasa sebak melihat keadaan tersebut.
Dia memaklumkan doktor turut memberitahu bahawa tempoh dua bulan berikutnya menjadi cabaran buat bapanya untuk menghadapi kesan sampingan ubat berkenaan.
“Tadi doktor pun ada cakap dua bulan ini masa mencabar untuk abah kena lawan side effect kuat ubat TB itu.
“Memang seksa tengok dia sakit makan ubat itu. Tapi itulah, kami pun kena kuat, kena bagi semangat kat dia,” katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatan bapanya yang tidak begitu baik pada usia lanjut menambahkan lagi kebimbangannya terhadap proses rawatan.
Akui Bapa Perokok Tegar, Keluarga Jalani Pemeriksaan
Dalam perkembangan sama, wanita itu memaklumkan ahli keluarganya turut perlu menjalani pemeriksaan TB kerana mempunyai hubungan rapat dengan bapanya.
Katanya, seluruh ahli keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan risiko jangkitan kepada individu yang tinggal bersama atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit.
Dia turut menyentuh tabiat merokok bapanya yang merupakan perokok tegar sejak sekian lama.
Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan bahawa rokok bukan punca utama TB, sebaliknya dia mengaitkan tabiat tersebut dengan kerosakan paru-paru dan masalah asma yang dialami bapanya.
“Rokok bukan penyebab utama TB, tapi saya tetap salahkan rokok. Sebab abah saya perokok tegar,” katanya.
Bekas Pesakit TB Turut Beri Kata Semangat
Perkongsian itu turut menerima pelbagai respons daripada pengguna Threads, termasuk individu yang pernah menghidap TB dan berjaya pulih selepas menjalani rawatan.
Seorang pengguna berkongsi pengalamannya menjalani rawatan TB selama setahun tanpa meninggalkan dos ubat, manakala seorang lagi menceritakan anaknya pernah menjalani rawatan selama enam bulan sebelum kembali sihat.
Ada juga pengguna yang mengingatkan keluarga pesakit supaya menjalani pemeriksaan sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan menghidap TB.
Rata-rata memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar bapa wanita itu diberikan kekuatan untuk meneruskan rawatan serta kembali pulih. – The Malaysian Update
The post Anak Bimbang Bapa Berusia 72 Tahun Disahkan Hidap TB, Abang Meninggal Dunia Akibat Penyakit Sama appeared first on The Malaysian Update.






