
NEW DELHI: Polis di Kerala, selatan India membuka kertas siasatan terhadap sebuah jenama krim pencerah kulit selepas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang menggunakan produk itu dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang serius.
Doktor yang merawat mangsa memaklumkan remaja berkenaan menghidap gangguan yang menjejaskan keupayaan buah pinggang untuk menapis darah akibat kandungan merkuri pada tahap toksik di dalam krim tersebut.
Mangsa yang dirahsiakan identitinya dilaporkan membeli produk berkenaan untuk merawat masalah jerawat dan pigmentasi selepas tertarik dengan iklan yang dipaparkan di media sosial.
Hospital Aster MIMS Mother di daerah Malappuram tempat remaja itu dirawat dalam satu kenyataan memaklumkan ujian makmal mendapati krim tersebut mengandungi 12,500 bahagian per juta (ppm) merkuri, jauh melebihi had dibenarkan iaitu kurang daripada satu ppm bagi produk pencerah kulit.
Pakar nefrologi hospital berkenaan, Dr. Satheesh berkata, mangsa mengalami membranous nephropathy, iaitu gangguan buah pinggang mengancam nyawa yang menyebabkan dinding penapis buah pinggang menebal sehingga mengakibatkan kebocoran protein yang banyak ke dalam air kencing.
Beliau menjelaskan merkuri yang diserap melalui kulit boleh merosakkan unit penapisan buah pinggang serta menyebabkan keracunan darah yang berisiko membawa kepada kegagalan buah pinggang dan kerosakan saraf yang teruk jika tidak dirawat.
Mangsa memberitahu akhbar Onmanorama, dia mula membeli krim tersebut kira-kira setahun lalu menerusi aplikasi media sosial dan sudah menggunakan tiga botol sepanjang tempoh berkenaan.
“Syarikat itu mendakwa penggunaan berterusan setiap malam dapat membantu menghilangkan jerawat dan pigmentasi, selain menjanjikan kesan ketara jika digunakan secara konsisten,” katanya.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan menggunakannya, dia mula mengalami keletihan melampau, sakit kepala, pening, sukar tidur selain kaki dan wajahnya membengkak sehingga sukar untuk berdiri tegak.
“Remaja itu pada awalnya dibawa ke hospital oleh ibu bapanya dalam keadaan badan membengkak teruk dan mengalami kesakitan fizikal yang kritikal,” menurut kenyataan hospital berkenaan. –AGENSI
The post Gadis derita sakit buah pinggang akibat krim pemutih appeared first on Utusan Malaysia.






