Anak cucu diganggu suara arwah

27 Sep 2026 • 10:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak cucu diganggu suara arwah

KEMATIAN adalah satu kepastian dan ketetapan Allah SWT yang tidak boleh dielakkan oleh setiap makhluk yang bernyawa.

Bila nafas terakhir dihembuskan, maka berakhirlah urusan manusia di dunia.

Pada minggu ini, Mitos memaparkan kisah misteri dan menakutkan yang menyelubungi sebuah keluarga setelah selesai urusan pengebumian seorang bapa setelah meninggal dunia mengejut tanpa sebarang sakit kronik pada usia lewat 60-an.

Menurut kisah yang diceritakan seorang pesara kakitangan awam dalam agensi pengangkutan awam dari Banting, Selangor, Nasir Basri, 62, peristiwa menyeramkan tersebut berlaku di sebuah negeri di Utara Semenanjung beberapa tahun lalu.

“Keluarga itu memiliki lima adik-beradik, tetapi kesemua mereka tinggal di bandar dan pulang setelah bapa mereka meninggal dunia.

“Saya namakan si bapa sebagai Kassim, anak sulung sebagai Ramli, kedua (Shila), ketiga (Amri), keempat (Hassan) dan bungsu (Dahlia),” katanya.

Nasir berkata, selepas majlis tahlil arwah, kesemua adik-beradik tersebut mengadakan mesyuarat dengan agenda untuk menyelesaikan urusan tertunggak arwah dan pengagihan harta pusaka.

“Perbincangan adik-beradik tersebut diadakan dalam suasana harmoni, cuma Ramli mengumumkan bapa mereka pernah berpesan jika dia meninggal, kesemua anak dan cucu diminta balik selama tiga hari tiga malam.

“Anak kedua pada mulanya membantah kerana cutinya hanya dua hari dan perlu pulang keesokan harinya ke Putrajaya. Namun abangnya berkata, pembahagian harta akan diadakan pada malam ketiga,” katanya.

Malam pertama arwah disemadikan, berlaku peristiwa misteri di rumah pusaka tersebut tepat pukul 12 tengah malam.

Jelasnya, suara Pak Kassim jelas kedengaran dari luar rumah pusaka itu yang memanggil nama isterinya, Kalsom hingga mengejutkan penghuni rumah.

“Dalam keadaan panik, anak sulung kepada Ramli, Haikal mengejutkan bapanya yang sedang tidur dengan mengetuk pintu biliknya bertalu-talu.

“Ramli terperanjat apabila anaknya memberitahu, datuk mereka balik dan memanggil nama opah.

“Dia pun meluru keluar dari bilik dan membuka pintu depan rumah untuk melihat sendiri sama ada benar atau tidak kata-kata anaknya itu,” katanya.

Nasir memberitahu, setelah pintu dibuka, tiada sesiapa di hadapan rumah atau apa-apa makhluk lain.

Cerita Nasir lagi, seisi rumah selepas itu tidak berani tidur kerana diselubungi ketakutan hingga ada yang ingin balik ke rumah masing-masing.

“Namun setelah diberi amaran oleh Ramli, semua waris bersabar hingga hari ketiga, demi menyelesaikan urusan harta pusaka.

“Ramli sebagai abang sulung, sedaya upaya ingin memastikan pesanan bapanya, agar rumah pusaka ditinggalkan selepas tiga hari ditunaikan,” jelasnya.

Menurut Nasir, timbul kehairanan di hati Ramli, bapanya tidak pernah dilihat melakukan amalan-amalan pelik bercanggah dengan Islam.

Ujarnya, Ramli melihat bapanya sebagai lelaki yang mempunyai kehidupan normal seperti orang lain, bekerja kuat sebagai kontraktor dan memiliki banyak harta.

“Walaupun ibunya sudah tiada, namun bapanya tidak berkahwin lain. Malah, selesa dijaga orang gaji, iaitu pasangan suami isteri yang tinggal bersamanya.

“Namun pada malam kedua, gangguan dalam bentuk panggilan bertukar menjadi insiden ketuk pintu dan dinding serta bunyi makhluk berlari di atas bumbung rumah.

“Peristiwa menyeramkan itu berlangsung selama sejam bermula pukul 12 malam hingga pukul 1 pagi,” katanya.

Keesokan harinya, bagi merungkai misteri dua malam berturut-turut tersebut, Ramli memutuskan untuk bertemu kawan karib bapanya, Hamid untuk mendapatkan maklumat.

Sahabat bapanya langsung tidak terkejut apabila Ramli bertanya tentang peristiwa misteri yang berlaku di rumah pusaka itu.

“Pak Hamid tersenyum manis, lalu membuka cerita zaman muda Pak Kassim sebelum berkahwin dan memiliki kehidupan yang dilihat sempurna dan mewah.

“Walaupun Pak Kassim dianggap baik dan peramah tetapi ada juga sisi gelap yang hanya diketahui kawan rapatnya.

“Sebagai sahabat, Pak Hamid menjelaskan dengan secara berlapik kisah Pak Kassim yang hebat di zaman 1980-an sebagai seorang lelaki muda penuh keazaman untuk mencari ilmu dunia demi memenuhi cita-citanya,” ujarnya.

Jelas Nasir lagi, Pak Kassim bersama Pak Hamid dan kawan-kawan lain sanggup menuntut ilmu dunia serta akhirat sampai ke negara Seberang.

Pak Hamid memberitahu Ramli, bapanya telah mempelajari ilmu duniawi hingga ke satu tahap melibatkan unsur-unsur mistik yang boleh mengancam nyawa jika salah perhitungan.

“Pak Hamid hanya mampu menasihati Ramli untuk memulihkan gangguan terhadap rumah pusakanya agar roh arwah bapanya tenang di sana,” katanya.

Pada malam terakhir di rumah tersebut, selepas urusan faraid diselesaikan, seorang ustaz diminta membantu untuk memulihkan gangguan terhadap rumah pusaka itu.

Jelas Nasir, upacara memulihkan rumah pusaka dimulakan tepat pukul 11 malam melibatkan bacaan al-Quran.

Akhirnya, berkat doa dan kesabaran waris-waris Pak Kassim, segala gangguan yang membelenggu keluarga tersebut berakhir, walaupun misteri suara tersebut masih belum terungkai.

The post Anak cucu diganggu suara arwah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved