JERTIH – Bapa kepada remaja lelaki yang hilang ketika dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands mendedahkan anaknya, Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, sempat berkongsi lokasi secara langsung (live location) kepada keluarga beberapa minit sebelum memadamkan maklumat itu.
Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata, kehilangan anaknya berlaku ketika mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir dalam perjalanan ke Cameron Highlands pada Khamis lalu.
Katanya, Azreeq menunggang motosikal jenis Yamaha R15 manakala ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.
“Kali terakhir kami bertemu ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu. Selepas itu saya bergerak dahulu bersama keluarga untuk meneruskan perjalanan.
"Kira-kira jam 12.30 tengah malam, kami berhenti makan di Kampung Anak Ikan, Besut dan menghubungi Azreeq supaya berhenti di kedai makan yang sama, namun dia tidak muncul," katanya.
Beliau menambah, selepas selesai makan dan Azreeq masih belum tiba, mereka meneruskan perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dengan andaian remaja itu akan menyusul dari belakang.
“Sepanjang perjalanan, isteri saya cuba menghubunginya tetapi panggilan tidak dijawab. Kami menyangka mungkin telefon bimbitnya kehabisan bateri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim, pula mengesahkan remaja terbabit kali terakhir dikesan singgah di sebuah stesen minyak di Beting Lintang pada awal pagi Jumaat lalu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Polis telah membuka kertas siasatan orang hilang selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa pada petang Jumaat dan sedang giat mengesan keberadaan mangsa. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ahmad Azhar berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan anaknya dapat tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, selain mendoakan agar Azreeq ditemui dalam keadaan selamat.
