Anak Jati Bintulu Ini Rupanya ‘Head of Safety’ Di Grab – Ini Cara Beliau Pastikan 99.99% Trip Anda Selamat

19 Dec 2025 • 4:58 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

Pernahkah anda terfikir, siapa sebenarnya yang menjaga keselamatan kita setiap kali kita menekan butang “Book” di aplikasi Grab?

Anak Jati Bintulu Ini Rupanya ‘Head of Safety’ Di Grab – Ini Cara Beliau Pastikan 99.99% Trip Anda Selamat. Kita sering menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke tempat kerja, menghantar makanan, atau mengirim barang. Namun, di sebalik kemudahan ini, aspek keselamatan adalah perkara nombor satu yang sering bermain di fikiran, terutamanya di Borneo di mana perjalanan kadang-kala agak jauh dan sunyi.

Siapa sangka, individu penting yang memikul tanggungjawab besar untuk memastikan platform ini selamat di peringkat serantau adalah anak Borneo yang berasal dari Bintulu, Sarawak.

Memperkenalkan Naomi Sundrasaykarum, anak jati Sarawak kelahiran Bintulu yang memegang jawatan sebagai Ketua Keselamatan Platform Serantau (Head of Regional Platform Safety) di Grab.

image is not available
Naomi Sundrasaykarum, Ketua Keselamatan Platform Serantau Grab. Anak Jati Bintulu Ini Rupanya ‘Head of Safety’ Di Grab – Ini Cara Beliau Pastikan 99.99% Trip Anda Selamat

Dari Rig Minyak ke Gergasi Teknologi

Sebelum menyertai pasukan keselamatan di Grab, Naomi merupakan seorang pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health personnel) dalam industri Minyak dan Gas – sebuah sektor yang terkenal dengan piawaian keselamatan yang ketat.

Walaupun kini beralih ke industri teknologi, Naomi menegaskan bahawa prinsip kerjanya tidak pernah berubah iaitu memastikan semua orang selamat.

Ciri AudioProtect Grab – Inovasi Kebanggaan Naomi dan Pasukannya

Tugas Naomi bukan sekadar duduk di pejabat menganalisis data. Beliau juga turun padang untuk memahami punca masalah seperti pemanduan laju atau kemalangan, dan mencari jalan penyelesaiannya.

Salah satu sumbangan beliau yang paling membanggakan adalah penglibatannya dalam ciri keselamatan baharu Grab, iaitu ciri AudioProtect. Ciri keselamatan ini dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI), menjadi pelindung penting dalam setiap perjalanan.

image is not available

Bagi Naomi, keselamatan adalah hak milik bersama – bukan untuk penumpang sahaja, tetapi juga untuk wira jalanan yang membawa kita ke berbagai destinasi.

“Rakan pemandu adalah tulang belakang perkhidmatan kami, dan mereka berhak berasa selamat semasa bekerja, sama seperti penumpang berhak berasa selamat semasa dalam perjalanan. AudioProtect adalah cara kami memastikan keselamatan tidak pernah dikompromi untuk semua pihak yang terlibat”, kongsi Naomi.

99.99% Perjalanan dan Penghantaran Grab Berlaku Tanpa Insiden

Hasil daripada gabungan pengalaman Naomi dalam bidang minyak dan gas, pendekatan penuh empati, serta inovasi seperti AudioProtect ini, Grab berjaya mencatatkan rekod cemerlang.

Di bawah seliaan pasukan beliau yang memanfaatkan teknologi canggih dan sistem keselamatan holistik, Grab baru-baru ini mencapai prestasi yang cukup memberangsangkan di mana 99.99% daripada semua perjalanan dan penghantaran di platform mereka berlaku tanpa sebarang insiden keselamatan.

Naomi dan pasukannya memahami bahawa Grab bukan sekadar aplikasi harian, tetapi sebuah ekosistem yang saling berkait. Misi utama mereka meskipun tampak mudah, tetapi sangat penting dan kritikal iaitu memastikan setiap perjalanan, sama ada untuk penumpang atau rakan pemandu, adalah selamat dari mula hingga akhir.

Menurut Naomi, Grab telah membina ciri keselamatan yang menyeluruh menggunakan teknologi AI dan pembelajaran mesin (machine learning) untuk mencegah insiden sebelum ianya berlaku.

image is not available
Carta alir tentang sistem pengurusan keselamatan menyeluruh untuk platform Grab.

Sistem Keselamatan Holistik Merangkumi Sebelum, Semasa dan Selepas Perjalanan

Ramai antara kita hanya perasan butang ‘Emergency’, tetapi sebenarnya sistem keselamatan Grab berfungsi dalam 3 fasa: Sebelum, Semasa, dan Selepas Perjalanan.

Berikut adalah ciri-ciri “rahsia” yang melindungi anda:

1. Sebelum Trip Bermula (Pre-trip)

Anda rasa leceh sebab kena swafoto (selfie) sebelum menggunakan aplikasi? Sebenarnya, ciri Verifikasi Wajah (Facial Verification) ini menggunakan AI untuk memastikan identiti pemandu dan penumpang adalah tulen, menghalang akaun palsu atau penceroboh.

Selain itu, Grab turut memperkenalkan ciri Number Masking di mana nombor telefon sebenar anda dan pemandu disorokkan untuk menjaga privasi kedua-dua pihak.

Bagi penumpang wanita, terdapat ciri ‘Women Passengers Preferred’ yang membolehkan pemandu wanita memilih untuk mengambil penumpang wanita sahaja jika ada di kawasan berdekatan. Semasa artikel ini ditulis, fungsi ini masih di peringkat Beta.

*Fakta menarik: Menurut Grab, 1 daripada 2 pemandu wanita telah mengaktifkan ciri ini!

2. Semasa Perjalanan (On-trip)

Ini adalah fasa paling kritikal. Bagi memastikan keselamatan penumpang dan rakan pemandu, Grab menggunakan teknologi pemantauan perjalanan (Trip Monitoring) yang mengesan sekiranya berlaku hentian yang tidak dirancang atau penyelewengan laluan.

Salah satu ciri yang wajar dipuji adalah AudioProtect. Jika diaktifkan, ia merakam audio secara sulit (encrypted) semasa perjalanan. Rakaman ini hanya boleh diakses jika insiden keselamatan dilaporkan, membantu menyelesaikan kes dengan pantas.

Ciri AudioProtect ini juga akan diaktifkan secara automatik untuk perjalanan waktu malam (10 malam – 6 pagi) sebagai langkah keselamatan tambahan.

3. Selepas Perjalanan (Post-trip)

Keselamatan tidak berakhir apabila anda turun dari kereta. Grab menyediakan saluran maklum balas dan pasukan respons insiden yang beroperasi 24/7.

Bukan itu sahaja, pemandu juga menerima laporan keselamatan pemanduan untuk memperbaiki cara pemanduan mereka pada masa hadapan.

Inisiatif Grab untuk Menjaga Kebajikan Rakan Pemandu dan Penghantar

Sistem ini bukan sahaja untuk penumpang. Naomi menekankan bahawa rakan pemandu dan penghantar juga perlu pulang dengan selamat kepada keluarga mereka.

Antara inisiatif menarik adalah Fatigue Nudges, di mana aplikasi akan memberi peringatan kepada pemandu untuk berehat jika mereka telah memandu terlalu lama.

Melalui program GrabBenefits, Grab turut bekerjasama dengan PERKESO untuk memberi subsidi caruman SKSPS kepada rakan pemandu yang aktif, serta menyediakan perlindungan insurans kemalangan diri percuma semasa bertugas. Ini memastikan mereka dilindungi dari segi fizikal dan kewangan.

Ringkasan Fungsi Keselamatan Grab

1. Sebelum Trip Bermula (Pre-trip)

  • Verifikasi Wajah (Facial Verification)
  • Number Masking
  • Ciri ‘Women Passengers Preferred’

2. Semasa Perjalanan (On-trip)

  • Teknologi pemantauan perjalanan (Trip Monitoring)
  • Ciri AudioProtect

3. Selepas Perjalanan (Post-trip)

  • Saluran maklum balas dan pasukan respons insiden yang beroperasi 24/7
  • Laporan keselamatan pemanduan kepada pemandu

4. Inisiatif untuk Rakan Pemandu dan Penghantar

  • Ciri Fatigue Nudges
  • Program GrabBenefits

Kesimpulan

Dengan rekod 99.99% perjalanan tanpa insiden dalam Laporan ESG 2024 mereka, Grab membuktikan bahawa mereka serius tentang keselamatan.

Bagi warga Borneo, ianya satu kebanggaan apabila mengetahui bahawa teknologi dan strategi keselamatan bertaraf dunia ini diketuai oleh anak tempatan seperti Naomi Sundrasaykarum.

Jadi, lain kali anda menaiki Grab, ingatlah bahawa terdapat pelbagai lapisan teknologi canggih dan usaha keras pasukan Naomi, yang sedang bekerja di belakang tabir untuk memastikan anda sampai ke destinasi dengan selamat dan tenang.

Baca juga artikel berkaitan Grab yang pernah kami terbitkan sebelum ini:

Grab Ambil Alih Everrise, Rangkaian Pasaraya Premium Terbesar di Malaysia Timur
Kitar Semula Beg Grab Menjadi Beg Baru, Kenali Pereka Fesyen Sarawak Neng Kho Razali