'Anak JB untuk orang JB' taruhan Mohd Hairi di Larkin

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 6:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Anak JB untuk orang JB' taruhan Mohd Hairi di Larkin
Mohd Hairi Mad Shah (kanan) dalam misi mempertahankan kerusi DUN Larkin.

JOHOR BAHRU - Status sebagai "anak jati” dan pemahaman mendalam terhadap denyut nadi penduduk menjadi taruhan utama Mohd Hairi Mad Shah dalam misi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Mempertaruhkan slogan "Anak JB untuk Orang JB", calon Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan faktor membesar dan bersekolah di kawasan itu memberikannya kelebihan untuk menyelami isu setempat serta berkhidmat secara lebih efektif.

"Kelebihan saya, saya duduk dalam kawasan Larkin, saya tahu demografi Larkin, (malah) saya bersekolah dalam kawasan sini," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata pengalamannya sebagai Exco kerajaan negeri turut memperkukuh rekod khidmat baktinya untuk terus diberi mandat oleh penduduk.

Mengulas mengenai momentum kempen selama seminggu ini, Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau enggan membiarkan rasa selesa menguasai diri meskipun menerima maklum balas memberangsangkan daripada masyarakat.

Beliau tetap komited memanfaatkan baki tempoh berkempen untuk meluaskan jangkauan jelajahnya ke segenap pelosok DUN berkenaan bagi menyantuni seramai mungkin daripada 76,662 pengundi berdaftar.

"Rata-rata (masyarakat) yang saya jumpa memberikan petanda yang cukup positif untuk saya tetapi saya tidak mendabik dada dan terlebih yakin. Saya akan terus menjalankan mandat yang diberikan oleh parti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Dalam pada itu, Mohd Hairi mengingatkan pengundi agar tidak menjadikan PRN kali ini sebagai medan "percubaan” dalam memilih wakil rakyat, sebaliknya perlu menilai berdasarkan prestasi dan kestabilan.

"Dalam keadaan (pilihan raya) sekarang kita tidak boleh lagi membuat eksperimen, sebaliknya yakin dengan kebolehan pentadbiran hari ini di bawah kepimpinan orang muda serta parti yang sedang melalui proses rejuvenasi," katanya.

Pada PRN 2022, Mohd Hairi memenangi DUN Larkin dengan majoriti 6,178 undi dalam saingan enam penjuru.

Kali ini, dalam misi mempertahan DUN tersebut beliau akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat serta Norsinah Abu daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama

N44 Larkin: 76,662 pengundi

1. Norsinah Abu (Bersama)

2. Suhaizan Kayat (PH-Amanah)

3. Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO)

(2022: Mohd Hairi Mad Shah: BN-UMNO: Maj: 6,178)

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved