
KUALA LUMPUR — Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, hari ini secara rasmi memohon maaf kepada Undang Yang Empat ekoran tindakan beliau memetik gelaran Institusi Undang sewaktu Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Sebagai anak jati yang membesar dalam acuan adat, Ahmad Shahir menegaskan komitmennya untuk sentiasa memelihara kedaulatan struktur tradisional negeri.
“Sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran “Dato’ Undang” kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Khilaf gurauan media sosial
Menjelaskan situasi sebenar, Ahmad Shahir mendedahkan bahawa kenyataan tersebut timbul daripada usikan spontan yang merujuk kepada gelaran tular dalam ruang siber melibatkan Ahli Parlimen Seremban.
“Saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Udang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberi dalam media sosial kepada beliau (sebagai) 'Tok Undang'."
“Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi.
Komitmen PH pertahan warisan negeri
Mengulas lanjut bagi meredakan ketegangan, beliau memberi jaminan bahawa gabungan politik PH tidak pernah memperlekehkan struktur pentadbiran adat yang menjadi tonggak kestabilan Negeri Sembilan.
"PH sentiasa menghormati serta mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti dan kebanggaan Negeri Sembilan," katanya. - 15 Jun, 2026
The post Isu gelaran ‘Tok Undang’: SUA MB Negeri Sembilan mohon maaf kepada Undang Yang Empat appeared first on Scoop.





