
JELEBU – Pada usia baru 12 tahun, seorang murid Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu membuktikan kehebatannya apabila berjaya merangkul pingat emas Pertandingan Juniorskills Malaysia 2026 bagi bidang Electrical Installations.
Lebih membanggakan, Nur Aufa Safiyya Noor Soudiqqin merupakan satu-satunya peserta dari sekolah rendah yang berjaya mara ke peringkat akhir sebelum dinobatkan sebagai juara.
Nur Aufa Safiyya menewaskan 11 peserta lain yang terdiri daripada pelajar sekolah vokasional dan menengah berusia sekitar 16 tahun.
Bapanya, Noor Soudiqqin Ismail, 42, berkata, minat anak bongsu daripada tiga beradik itu dalam bidang teknikal banyak didorong oleh kejayaan abangnya yang terlebih dahulu mencipta nama dalam pertandingan sama.
Katanya, abang Nur Aufa Safiyya, Nur Saif Ammar Noor Soudiqqin, 15, sebelum ini turut merangkul kejayaan sama pada 2023 sebelum diberi peluang mewakili Malaysia ke pertandingan WorldSkills Asia Taipei 2025.
“Aufa selalu kata nak jadi macam abang. Kata-kata ini menjadi pembakar semangat untuk dia berusaha menguasai kemahiran pemasangan elektrik sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
“Malah, saya sebagai pensyarah Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Jelebu bertindak sebagai jurulatih sendiri kepada anak, selain sokongan isteri,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Pertandingan anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia itu berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos lalu di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor.
Penyampaian hadiah berlangsung pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, kelmarin.
Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
The post Anak Jelebu tangan ’emas’ appeared first on Kosmo Online.


