
BAHARU berusia 14 tahun namun pemain posisi penyerang, Lim You, mencuri tumpuan dengan meledak tujuh gol ketika skuad Malayan Tigress Bawah 17 tahun membelasah Arab Saudi 9-0.
Daripada sepakan percuma hingga lencongan dari luar kotak penalti. Kaki kiri berbisa dengan tujuh gol cantik menjadi bualan peminat di media sosial dalam aksi terakhir Kumpulan A pada kejohanan Piala Srikandi Merdeka 2026 di Kudus, Indonesia baru-baru ini.
Berketinggian 165 sentimeter, dia menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti dan video gol-gol jaringannya kemudian mendapat perhatian di media sosial.
Menemui sasaran pada minit kelapan, ke-22, ke-27, ke-57, ke-75 menerusi sepakan penalti, minit ke-83 dan ke-85, manakala Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani dan Ku Nur Qaleysha Qaisara Ku Zainon melengkapkan kenduri gol masing-masing pada minit ke-45+5 dan ke-90+2.

Skuad Malaysia Tigress yang dibimbing oleh Fairuz Montana Zainal Abidin terus mendominasi perlawanan walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Pillay dilayangkan kad merah pada minit ke-21.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, terikat dengan Hong Kong, namun mara ke separuh akhir menerusi kelebihan perbezaan gol.
Siapa si tinggi lampai yang begitu lincah menghadiahkan Malaysia tujuh gol? Berikut lima info Lim You:

1-Ibu bapa Lim You dilahirkan dan dibesarkan di Tangkak, Johor.
2-Bagaimanapun, pemain muda itu dilahirkan di Taiwan sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.
3-Dia kemudiannya memulakan perjalanan bola sepaknya di XF Academy di Amerika Syarikat, sebelum mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
4-Menurut Lim You, kaki sebelah kiri banyak dilatih oleh bapa sejak kecil kerana menyedari tidak ramai pemain yang berkaki kiri. Malah, kelebihan itu merupakan satu keistimewaan yang perlu dimanfaatkan dalam permainan bola sepak.
5-Dalam temu ramah dengan The Star, Lim You berkata, penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan turut hadir dengan beberapa cabaran termasuk halangan bahasa pada peringkat awal kerana tidak begitu fasih berbahasa Melayu.
Semoga Lim You akan terus berjaya pada masa akan datang dan wawasan yang dimiliki bapanya menjadi inspirasi ibu bapa yang ingin mencungkil serta mengasah bakat istimewa anak-anak sejak dari usia muda.






