Anak kampung ‘Kelate’ harumkan nama Malaysia

16 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak kampung ‘Kelate’ harumkan nama Malaysia

JIKA dilihat sekali imbas, susuk tubuhnya yang kecil mungkin tidak menimbulkan rasa gerun.

Namun, apabila melangkah ke gelanggang taekwondo, setiap gerakan pantas dan tendangan bertenaga yang dipamerkan membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada saiz fizikal, sebaliknya lahir daripada disiplin, keberanian dan semangat yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Itulah keistimewaan dimiliki Aqil Baihaqi Zulkifli, 14, anak jati Kampung Kandis, Bachok, Kelantan yang kini semakin menyerlah sebagai antara atlet muda taekwondo negara selepas mencipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.

Selepas mengharumkan nama Malaysia pada The 6th World One Taekwondo Championships 2025 di Korea Selatan, Aqil meneruskan langkah di pentas antarabangsa apabila beraksi dalam 2026 ITF International Taekwondo Invitational Tournament di Hunan, China yang berlangsung pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Lebih membanggakan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Pasir Puteh itu berjaya membawa pulang pingat emas acara Man Sparring Individual Black Belt bawah 14 tahun kategori 35 kilogram, selain pingat perak bagi acara Man Pattern Individual Black Belt bawah 14 tahun.

Bagi Aqil, peluang beraksi di luar negara bukanlah sesuatu yang datang bergolek, sebaliknya menuntut latihan konsisten, disiplin tinggi dan kesanggupan berkorban sejak usia kanak-kanak lagi.

“Saya memang minat terhadap taekwondo yang mula berputik ketika berusia enam tahun sewaktu masih belajar di Tadika Sinar Panji, Bachok sebelum menyertai kejohanan pertama di Kota Bharu pada tahun yang sama.

“Pada awalnya, saya hanya mahu belajar menendang dan mempertahankan diri, tetapi tidak pernah menyangka minat itu akhirnya membawa saya ke kejohanan di luar negara.

“Kemenangan ini juga adalah hadiah buat negara yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-69 serta Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui K-Remaja di rumah keluarganya di Kampung Kandis baru-baru ini.

Aqil menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kebanggaan kerana dapat membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa pada usia yang cukup muda.

“Saya sangat bangga dapat mewakili Malaysia walaupun baru berusia 14 tahun.

Image from: Anak kampung ‘Kelate’ harumkan nama Malaysia
AQIL (tengah) berjaya meraih pingat emas pada 2026 ITF International Taekwondo Invitational di Hunan, China baru-baru ini.

“Bila menang, saya rasa macam ada satu tanggungjawab untuk terus buat yang terbaik supaya nama negara terus dikenali,” katanya.

Aqil yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu juga menghadiahkan pingat emas yang dimenangi buat keluarga dan jurulatih yang banyak berkorban serta sentiasa percaya kepada kemampuan dirinya.

“Ayah selalu pesan supaya sentiasa merendah diri dan terus berusaha walaupun sudah menang.

“Kata ayah, pingat boleh dicari, tetapi disiplin dan akhlak akan kekal sampai bila-bila,” ujarnya.

Menurut Aqil, pengalaman beraksi di Hunan, China menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya kerana berpeluang menguji kemampuan berdepan atlet muda hebat dari negara lain.

Katanya, perasaan gementar tetap dirasai sebelum memasuki gelanggang, namun pengalaman bertanding di Korea Selatan tahun lalu banyak membantunya mengawal emosi dan meningkatkan keyakinan.

“Bila masuk gelanggang, saya cuba buang rasa gementar dan fokus kepada perlawanan. Saya ingat pesanan jurulatih supaya tenang, dengar arahan dan jangan mudah hilang fokus.

“Apabila diumumkan sebagai pemenang dan mendapat pingat emas, saya rasa sangat gembira kerana segala penat lelah ketika berlatih akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, setiap perlawanan di Hunan turut memberi pengalaman baharu terutama ketika berdepan atlet yang mempunyai gaya dan corak permainan berbeza.

Katanya, kejohanan itu mengajarnya supaya lebih tenang, bijak membaca pergerakan lawan dan tidak mudah terpengaruh dengan tekanan ketika berada di gelanggang.

“Saya sedar masih banyak perlu dipelajari. Kemenangan ini tidak bermakna saya boleh berhenti berlatih, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras.

“Saya mahu terus berusaha supaya suatu hari nanti dapat beraksi dalam kejohanan yang lebih besar dan sekali lagi mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Bagi memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap terbaik, Aqil turut menjaga pemakanan dengan mengamalkan makanan yang ringkas dan berkhasiat.

Dia gemar makan telur sebagai sumber protein selain mengelakkan makanan ringan.

Walaupun jadual latihan agak padat, Aqil tidak pernah mengabaikan pelajaran kerana baginya pendidikan tetap menjadi keutamaan selain mengejar impian sebagai atlet negara.

Di luar gelanggang pula, remaja ini mempunyai hobi yang agak unik apabila gemar membela anak ular dan kala jengking.

Baginya, hobi tersebut mengajar dirinya supaya menjadi lebih berani, sabar dan berhati-hati.

Menyentuh mengenai kejayaannya ketika beraksi di di Korea Selatan pada April tahun lalu, dia berjaya meraih pingat emas dalam acara sparring dan pingat perak bagi acara pattern.

Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih ketika berdepan atlet-atlet muda dari pelbagai negara yang saiz badannya lebih besar dan mempunyai pengalaman luas dalam sukan berkenaan.

Selain kejayaan di Korea Selatan, Aqil turut mengumpul pingat emas dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Kelantan, Martial Art Taekwondo Championship di Perak serta High Kicks National Taekwondo Championship.

Aqil juga memenangi pingat emas acara pattern dan pingat perak acara sparring pada Putrajaya Taekwondo Challenge 2025 sebelum menambah satu lagi pingat perak dalam Martial Arts Taekwondo Championship 2026 di Perak.

Secara keseluruhannya, Aqil telah mengumpulkan lima pingat emas dan tiga pingat perak sepanjang 2025 hingga 2026, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara prospek muda yang semakin mendapat perhatian.

Kejayaan tersebut tidak datang sendiri, sebaliknya dibentuk melalui latihan bersama High Kicks Taekwondo Martial Arts Club di Kota Bharu yang terkenal dengan pendekatan latihan berteraskan ilmu, disiplin dan amalan murni.

Bagi Aqil, taekwondo bukan sekadar sukan mempertahankan diri, malah menjadi platform membentuk keyakinan, mengawal emosi, menghormati orang lain dan belajar menerima kekalahan dengan hati terbuka.

“Saya berharap lebih ramai remaja berani menceburi sukan kerana aktiviti itu bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mampu membentuk disiplin, kepimpinan dan semangat juang yang tinggi.

“Saya ingin buktikan bahawa anak kampung juga mampu bersaing di pentas dunia jika rajin berusaha, mendengar nasihat jurulatih dan tidak mudah mengalah,” katanya penuh yakin.

Bapanya, Zulkifli berkata, kisah Aqil Baihaqi membuktikan bahawa kejayaan tidak pernah memilih siapa atau dari mana kita berasal tetapi hasil semangat yang kental, sokongan keluarga dan kesungguhan yang tidak pernah padam.

“Saya menanggung sendiri segala perbelanjaan Aqil ke luar negara. Kalau ada penajaan amatlah dialu-alukan bagi membolehkan dia terus cemerlang dalam sukan ini serta melakar langkah besar menuju pentas dunia sambil membawa bersama impian mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

The post Anak kampung ‘Kelate’ harumkan nama Malaysia appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved