
BANGKOK – USS Abraham Lincoln bersama beribu-ribu askar Amerika Syarikat(AS) belayar meninggalkan Thailand hari ini, kata wartawan AFP, mengakhiri lawatan pelabuhan pertamanya susulan laporan kemerosotan keadaan hidup di atas kapal induk tersebut selepas sembilan bulan di tengah laut.
Seramai 5,000 kru USS Abraham Lincoln berlabuh di utara bandar peranginan Pattaya pada Rabu lalu untuk berehat dan berekreasi selama lima hari selepas penempatan panjang di Asia Barat.
Di tengah-tengah musim sepi pelancongan Thailand, ketibaan mereka membangkitkan harapan bagi perniagaan di Pattaya, sebuah bandar yang terkenal dengan pantai dan kehidupan malamnya serta reputasi sebagai hab pelancongan seks.
USS Abraham Lincoln belayar meninggalkan pelabuhan Laem Chabang, setengah jam perjalanan dari Pattaya, kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan) demikian menurut wartawan AFP.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan di Pattaya semasa lawatan itu, dengan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pekerja seks sebelum ketibaan askar-askar AS.
Meskipun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kekecohan, polis tempatan berkata, lawatan pelabuhan itu berakhir sebahagian besarnya tanpa sebarang insiden.
“Semuanya berjalan lancar,” kata ketua polis Pattaya, Anek Srathongyoo kepada AFP.
“Tiada tangkapan atau pertengkaran kecuali pada hari pertama apabila warga Amerika bertengkar sesama mereka,” tambahnya.
Bulan lalu, wakil-wakil rakyat Parti Demokrat menggesa siasatan dilakukan terhadap keadaan di atas kapal USS Abraham Lincoln berikutan laporan mengenai kekurangan makanan, paip rosak dan krisis kesihatan mental.
Presiden Donald Trump menolak kebimbangan tersebut, yang telah menyemarakkan kritikan terhadap perang panjangnya ke atas Iran, walaupun kapal Lincoln kemudian digantikan oleh USS George Washington di Asia Barat.
Sementara itu, askar-askar Amerika dilaporkan membelanjakan sehingga 100 juta baht (RM12.2 juta) semasa lawatan mereka, kata Datuk Bandar Pattaya, Poramase Ngampiches hari ini. – AFP
The post Anak kapal USS Abraham Lincoln belanja lebih RM12 juta berhibur di Pattaya appeared first on Kosmo Digital.


