Kapal USS Abraham Lincoln berehat di Pattaya selepas perang Iran

WorldPolitics
3 Sep 2026 • 11:13 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kapal USS Abraham Lincoln berehat di Pattaya selepas perang Iran

BANGKOK – Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Abraham Lincoln yang menjadi perhatian susulan kontroversi mengenai keadaan kehidupan anak kapalnya selepas berbulan-bulan berada di laut, tiba di perairan Thailand semalam.

Menurut laporan AFP, kapal gergasi berkuasa nuklear itu dilihat menghampiri Pelabuhan Laem Chabang berhampiran Pattaya, selatan Bangkok sebelum dijadualkan memasuki pelabuhan berkenaan.

Kunjungan itu menjadi peluang pertama kira-kira 5,000 kru kapal berkenaan menjejakkan kaki ke daratan sejak November lalu.

USS Abraham Lincoln meninggalkan California pada November 2025 untuk menjalankan tugas di Laut China Selatan sebelum diarahkan ke Asia Barat menjelang serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula enam bulan lalu.

Laporan mengenai keadaan kehidupan yang semakin merosot serta masalah kesihatan mental dalam kalangan kru, termasuk cubaan membunuh diri, sebelum ini mendapat perhatian media di AS.

Perkembangan itu turut mencetuskan kritikan terhadap Presiden AS, Donald Trump berhubung perang dengan Iran.

Sementara itu, Pattaya meningkatkan kawalan keselamatan sebagai persediaan menerima kehadiran kelasi dan anggota Marin AS.

Bandar peranginan tersebut menjadi lokasi istirahat dan rekreasi anggota tentera AS sejak era Perang Vietnam.

Pattaya kini merupakan antara destinasi popular pelancong asing kerana pantainya dan kehidupan malam yang turut sekian lama mendapat perhatian berhubung isu pelancongan seks.

Datuk Bandar Pattaya, Poramase Ngampiches berkata, pihak berkuasa baru-baru ini melancarkan operasi membanteras pekerja seks, namun menafikan tindakan itu mempunyai kaitan dengan ketibaan anggota tentera AS.

Di luar sebuah bar, satu papan tanda turut dipasang dengan tulisan: 

“Selamat datang kepada semua anggota tentera AS. Terima kasih atas khidmat anda.”

Menurut Poramase, perkhidmatan bas disediakan bagi membawa anggota tentera dari kapal berkenaan ke Pattaya dan kembali semula sehingga kapal induk itu berlepas Ahad ini.

“Mereka datang untuk berehat.

“Persediaan kami akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan memastikan harga yang adil supaya mereka tidak diambil kesempatan,” katanya menerusi hantaran Facebook minggu ini.

Bagaimanapun, anggota tentera berkenaan dilarang menyertai aktiviti sukan air seperti jet ski serta mengambil kesempatan daripada undang-undang ganja Thailand yang lebih longgar.

Mereka sebaliknya digalakkan menikmati pelbagai tarikan lain di Pattaya termasuk pusat beli-belah dan lokasi keagamaan. – AFP 

The post Kapal USS Abraham Lincoln berehat di Pattaya selepas perang Iran appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved