Anak Ketawa Apabila Digeletek Tak Semestinya Sebab Dia Suka, Ini Apa Yang Berlaku

Family & Parenting
12 Aug 2025 • 6:09 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bermain dengan anak-anak merupakan salah satu cara untuk ibu ayah mengukuhkan ikatan sesama mereka.

Sebagai contoh, ada ibu ayah yang gemar menggeletek anak untuk mengusik dan mendengar gelak tawa mereka.

Namun sebenarnya ada had yang ibu ayah kena cakna untuk elak anak daripada mengalami gangguan dari segi fizikal, mental dan emosi.

Geletek Boleh Cetus Tindak Balas Stres Pada Sistem Saraf Kanak-Kanak

Menurut hantaran di Instagram (@fascinating_psychology), tindakan menggeletek yang dilakukan secara berlebihan oleh ibu ayah boleh mencetuskan tindak balas stres pada sistem saraf anak-anak.

“Bayangkan tidak boleh berbuat apa-apa apabila seseorang menggeletek anda. Tidak boleh bernafas, bercakap, menghentikan perbuatan itu.

“Sekarang bayangkan perkara sama berlaku pada kanak-kanak yang tidak boleh membezakan antara permainan dan rasa panik,” katanya.

Jelasnya, gelak tawa yang dikeluarkan oleh anak apabila digeletek biasanya merupakan tindak balas tekanan yang ditunjukkan oleh tubuh badan mereka.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

Ini Antara Tindak Balas Tubuh Badan Akibat Digeletek

Namun ini tidaklah ditujukan buat semua tindakan geletek, tetapi yang berlebihan dan melampaui batas sehingga mengganggu sistem saraf mereka.

Menurutnya, geletek boleh menyebabkan pelbagai tindak balas tubuh badan termasuk:

  • Tidak boleh bernafas.
  • Lonjakan hormon kortisol dan adrenalin dalam sistem saraf.
  • Saraf vagus bertukar menjadi mod berjaga-jaga (high alert).
  • Badan memasuki fasa ‘fight, flight, freeze’, termasuk apabila kanak-kanak tidak boleh bergerak atau bercakap.
  • Otot-otot mengejang.
  • Kadar degupan jantung meningkat.

Tambahnya lagi, tertawa yang dikeluarkan ketika kanak-kanak digeletek adalah secara automatik yang disebabkan oleh perasaan ‘overwhelmed’, dan bukannya kerana mereka berasa gembira.

“Hanya kerana sesuatu biasa dilakukan, tidak bermakna ia tidak mendatangkan sebarang bahaya,” katanya.

Geletek Boleh Beri Kesan Pada Fizikal, Emosi & Mental Kanak-Kanak

Artikel oleh Euro Kids menjelaskan lebih lanjut mengapa geletek boleh jadi berbahaya buat kanak-kanak.

Menggeletek secara berlebihan boleh menyebabkan kecederaan fizikal seperti kulit luka, malah masalah pernafasan lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami asma.

Selain itu, geletek yang dilakukan tanpa kebenaran boleh membuatkan kanak-kanak rasa tidak selesa dan keliru tentang sentuhan selamat.

Sesetengah kanak-kanak juga akan rasa malu apabila digeletek di khalayak ramai, keadaan yang boleh memberi kesan kepada keyakinan diri dan kesihatan mental mereka.

Malah, cara geletek tertentu boleh mengakibatkan mereka teringat semula trauma akibat didera, seterusnya menyebabkan keresahan emosi.

Di samping itu, geletek yang tidak diingini oleh kanak-kanak juga seolah mendidik mereka bahawa seorang dewasa boleh melakukan apa sahaja terhadap mereka.

“Penting untuk menghormati batas, autonomi dan kehormatan kanak-kanak, serta mengelakkan sebarang aktiviti (seperti geletek) yang boleh mencederakan atau memalukan mereka,” katanya.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

Gelak Akibat Geletek Berbeza Dengan Ketawa Sebenar

Mungkin ada yang berfikir, jika benar kanak-kanak tidak suka digeletek, tetapi kenapa masih ada yang tertawa apabila diperbuat begitu?

Menurut video YouTube oleh Bright Side, satu kajian yang dijalankan oleh University of California pada tahun 1997 membuktikan bahawa tiada hubung kait antara ketawa yang disebabkan oleh geli (ticklish laughter) dengan ketawa sebenar.

Sebaliknya, ketawa akibat digeletek merupakan salah satu refleks yang dihasilkan oleh tubuh badan secara automatik.

Bagi ketawa sebenar pula, seseorang akan melakukannya tanpa dipaksa dan apabila mereka benar-benar berasa hendak berbuat demikian.

Kesan Buruk Akibat Geletek Kekal Hingga Dewasa

Pada tahun 1939, neurosaintis Yngve Zotterman mendapati geletek memberi kesan terhadap bahagian neuron yang sama dengan rasa sakit.

Malah banyak penyelidik juga berpendapat bahawa geletek boleh dianggap sebagai satu bentuk penderaan fizikal.

Pakar keibubapaan Patty Wipfler berkata, individu sering bercakap tentang digeletek apabila mengingati semula pengalaman trauma ketika kecil.

Malah ada yang sehingga mengelakkan diri setiap kali seseorang menghampiri mereka kerana risau digeletek.