
DEBARAN pagi tadi bukan sekadar tentang sekeping slip keputusan.
Ia tentang doa yang tak pernah putus, air mata yang diam-diam jatuh, dan harapan seorang ibu yang dipeluk erat oleh anaknya sendiri.
Begitulah momen yang dirasai pelakon Linda Rafar apabila berkongsi kejayaan anaknya, Syed Rezaqiib Syed Kamaruzaman Al-Yahya, melakar kejayaan manis dengan meraih semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi perkongsian di Instagram, Linda berada di sisi anaknya melangkah ke hadapan menerima slip keputusan daripada guru kelasnya.
Dalam suasana yang sarat debar, jelas terpancar wajah lega dan syukur, apabila guru tersebut mengumumkan anak lelakinya itu menjadi satu-satunya pelajar di dalam kelas berkenaan yang memperoleh semua A (9A).

Sorakan dan tepukan gemuruh serta ucapan tahniah daripada rakan-rakan sekolah mengiringi langkahnya, seolah-olah menjadi simbol bahawa usaha keras sentiasa ada saksi, dan kejayaan itu turut dikongsi bersama.
Paling menyentuh hati pastinya momen si ibu yang tampil dalam persalinan jubah kelabu dilihat memeluk erat anak lelakinya itu.
Pelukan itu bukan sekadar tanda bangga, tetapi juga bahasa kasih seorang ibu yang memahami setiap jatuh bangun anaknya.
Tahniah buat Rezaqiib atas keputusan cemerlang tersebut.
