Anak Lumpuh Dari Kaki Hingga Ke Pinggang, Ibu Sanggup Tinggal Di USM Sepanjang Pengajian

Family & Parenting
9 Oct 2023 • 12:15 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ibu bapa memang menjadi tulang belakang anak-anak dalam apa jua yang dilakukan. Mana tidaknya, ibu bapa kita memang sanggup korbankan masa, wang dan tenaga untuk kita hanya untuk melihat kita bahagia dan berjaya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

image is not available

Nursyuhaila Abdullah telah ditemani oleh ibunya Rosmawati Salleh yang berusia 55 tahun ketika mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu di USM pada hari Ahad yang lalu ini turut meluahkan rasa syukur kerana ibunya yang sudi tinggal bersamanya sepanjang dia menjalani pembelajarannya di universiti itu.

Menurut Nursyuhaila, dia sangat memerlukan bantuan ibunya untuk menjalani kehidupan hariannya lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar ekoran kesan penyakitnya itu masih dapat dirasai.

“Alhamdulillah saya bersyukur ibu sanggup tinggal bersama-sama di USM sepanjang pengajian nanti. Saya memang sangat memerlukan bantuan ibu kerana kesan penyakit itu masih dapat dirasai.”

Selain itu, dia juga berkongsi kisahnya ketika dia mula menghidapi penyakit tuberkulosis yang menyerang sehingga ke saraf tunjangnya pada usia 15 tahun.

Katanya, sepanjang berada di tingkatan empat, dia terpaksa berhenti sekolah selama setahun di Maktab Rendah Sains MARA Transkrian sebelum berpindah ke sekolah yang lebih dekat dengan rumahnya.

Pada masa yang sama, ibunya bertungkus lumus menguruskan urusan sekolah anaknya sehingga waktu rehat pun, Rosmawati tetap hadir membantu anaknya. Besar betul pengorbanan seorang ibu.

“Jadi pada masa itu ibu jugalah insan yang banyak berkorban masa, tenaga yang hantar dan ambil dari sekolah. Ibu juga datang setiap kali pada waktu rehat tolong urus pergerakan saya ke tandas dan sebagainya.”

Disebabkan pengorbanan tak terhingga itu, Nursyuhaila berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran supaya dapat menggapai cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.