
KUALA LUMPUR - Anak kepada Menteri Besar Perlis dan bekas setiausaha politiknya akan didakwa di mahkamah esok berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Menurut sumber, pertuduhan terhadap anak menteri besar itu akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Beliau (anak menteri besar) akan didakwa di mahkamah pada Khamis (esok),” katanya.
Sumber memberitahu, kes melibatkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagaimanapun masih dalam siasatan SPRM.
Pada 24 April lalu, anak Mohd Shukri bersama lima individu lain ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Turut direman ialah seorang pegawai kanan di pejabat Menteri Besar Perlis.
Kesemua auspek berusia antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur seperti kerja pembaikan dan penyelenggaraan, bekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Pada 26 April, anak lelaki Mohd Shukri dan empat yang lain dibebaskan dengan ikat jamin selepas tamat tempoh reman.
Susulan siasatan, SPRM pada 30 April menahan Mohd Shukri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.
Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, sebelum diikat jamin sekitar jam 7 malam.
Menurut surat jemputan kepada media, SPRM memaklumkan menerima kebenaran untuk mendakwa seorang pemilik syarikat dan bekas setiausaha politik di dua mahkamah berasingan esok.
Pemilik syarikat itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, manakala bekas setiausaha politik akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Getaran, 22 Mei 2024


