Anak muda minat beli rumah mampu milik, cabaran sediakan cengkeram

2 Nov 2026 • 10:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anak muda minat beli rumah mampu milik, cabaran sediakan cengkeram

SHAH ALAM, 2 NOV: Individu bujang membentuk 45 peratus daripada keseluruhan 179,250 pemohon Rumah Selangorku setakat April, kata EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah.

Katanya, kagetori itu membabitkan 80,662 pemohon manakala 84,248 atau 47 peratus lagi telah berkahwin sekali gus menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan anak muda.

“Permintaan terhadap kediaman mampu milik ini turut didominasi golongan muda apabila 92 peratus daripada keseluruhan pemohon berusia bawah 40 tahun.

“Daripada jumlah itu, 100,380 pemohon atau 56 peratus berusia 18 hingga 29 tahun manakala 64,530 pemohon atau 36 peratus berusia 30 hingga 39 tahun,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Borhan, isu kewangan termasuk kos awal antaranya wang pendahuluan, komitmen sedia ada dan syarat kelayakan antara cabaran utama anak muda untuk memiliki kediaman.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri menyediakan Skim Smart Sewa sebagai alternatif melalui sewaan pada kadar lebih rendah berbanding pasaran untuk tempoh dua hingga lima tahun.

“Menerusi konsep sewa dan simpan, penyewa yang memenuhi syarat boleh menerima pulangan 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar selepas memenuhi tempoh penyewaan.

Image from: Anak muda minat beli rumah mampu milik, cabaran sediakan cengkeram
Fakta Rumah Selangorku. GRAFIK AZWA MALEK

“Pulangan tersebut boleh dimanfaatkan untuk membina simpanan, termasuk menyediakan wang pendahuluan dan menampung kos berkaitan pemilikan rumah,” kata beliau.

Katanya, seramai 41 peserta Skim Smart Sewa juga memohon untuk membeli Rumah Selangorku dan 40 daripadanya telah menerima tawaran, tertakluk kelayakan pembiayaan institusi kewangan.

Borhan berkata faktor lokasi pusat pekerjaan, perancangan guna tanah dan akses pengangkutan awam diambil kira bagi memastikan rumah mampu milik memenuhi keperluan golongan bekerja.

“Ini termasuk pembangunan unit mampu milik di kawasan pembangunan berorientasi transit seperti di laluan Transit Aliran Ringan dan bandar utama di Selangor,” katanya.

Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan pula berkata harga rumah, pendahuluan dan komitmen kewangan mengekang anak muda dari membeli rumah.

Katanya, purata harga rumah yang melebihi RM400,000 membebankan mereka yang baharu memulakan kehidupan apatah lagi terpaksa menyediakan keperluan lain termasuk kenderaan.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri melalui LPHS berusaha menyediakan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku untuk membantu golongan berkenaan memiliki rumah,” katanya.

Beliau menjelaskan harga Rumah Selangorku berpatutan, malah didirikan di lokasi yang ada akses pengangkutan awam serta pelbagai kemudahan harian.

“Apabila kita ingin membina Rumah Selangorku, kita memastikan kawasan itu akan disokong pelbagai kemudahan yang memudahkan penduduk,” katanya.

Menurutnya, pembangunan pangsapuri atau pangsapuri servis turut diadakan di bandar bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik tanpa meningkatkan kos secara berlebihan.

Dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Selangor menyasarkan 200,000 unit rumah mampu milik menerusi Rumah Selangorku Harapan dan Idaman dibina menjelang tahun 2030.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak 64,188 unit siap dibina setakat ini manakala 69,014 lagi dalam pembinaan, menjadikan keseluruhan 133,202 unit.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved