Anak pemandu teksi jadi pelari menara nombor satu dunia

5 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anak pemandu teksi jadi pelari menara nombor satu dunia

SHAH ALAM, 5 JULAI: Setiap tahun, Soh Wai Ching menaiki hampir 80 penerbangan untuk berlumba menawan tangga bangunan pencakar langit terkenal dunia.

Daripada Empire State Building di New York, Taipei 101 di Taiwan hinggalah Menara Eiffel di Paris, atlet berusia 32 tahun itu menjadikan ribuan anak tangga sebagai pentas memburu kejayaan.

Hari ini, Soh bukan sahaja bergelar pelari menara nombor satu dunia, malah merupakan juara dunia, pemegang dua Rekod Dunia Guinness serta antara individu yang memperkenalkan sukan itu kepada rakyat Malaysia.

Namun, bagi Soh, semua pencapaian tersebut bukanlah matlamat utama.

Sebaliknya, beliau mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia mengenali sukan larian menara dan berpeluang menceburinya tanpa mengira latar belakang.

"Saya mahu sukan ini menjadi lebih popular dan mampu disertai semua rakyat Malaysia," katanya kepada Media Selangor.

Impian itu mula dibina sejak 2017 apabila beliau mengambil keputusan memberi sepenuh komitmen terhadap sukan berkenaan, sekali gus mengubah landskap larian menara negara di pentas antarabangsa.

Bermula dengan perlumbaan yang tidak diminati

Menariknya, perjalanan Soh sebagai pelari menara bermula dengan pengalaman yang langsung tidak meninggalkan kesan.

Beliau mula mengenali sukan itu kira-kira 15 tahun lalu menerusi abangnya sebelum menyertai Kuala Lumpur Tower Run pada 2013.

Namun perlumbaan tersebut tidak menarik minatnya.

Graduan Universiti Malaya itu kemudian memberi tumpuan kepada acara larian jalan raya dan berjaya mencatat masa 16 minit bagi acara 5 kilometer serta 33 minit bagi 10 kilometer.

Beliau turut muncul juara kategori 10 kilometer Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon.

Segalanya berubah pada 2017 apabila seorang rakan mengajaknya menyertai Kuala Lumpur Tower Run sekali lagi.

Berbekalkan latihan selama sebulan serta ilmu sains sukan yang dipelajari di universiti, Soh muncul rakyat Malaysia terpantas dan menduduki tempat kedua keseluruhan.

Keputusan itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Beliau menyedari memiliki potensi besar dalam sukan yang ketika itu masih kurang mendapat perhatian.

"Saya beri diri saya tempoh tiga tahun untuk melihat sejauh mana saya mampu pergi.

"Saya senaraikan semua atlet yang pernah mengalahkan saya, mengkaji prestasi mereka dan belajar daripada mereka. Dalam beberapa tahun, saya berjaya menjadi nombor satu dunia," katanya.

Pernah hampir mengalah

Walaupun bergelar juara dunia hari ini, perjalanan Soh bukan mudah.

Sebagai anak bongsu daripada empat beradik, beliau dibesarkan dalam keluarga sederhana. Bapanya bekerja sebagai pemandu teksi, manakala ibunya suri rumah.

Dua daripada adik-beradiknya memiliki ijazah kedoktoran, manakala seorang lagi berjaya dalam sektor perbankan.

Menurut Soh, ibu bapanya pada mulanya bimbang apabila beliau memilih kerjaya sebagai atlet dalam sukan yang tidak ramai kenali.

Cabaran terbesar pula ialah kekurangan tajaan, hadiah kemenangan yang kecil serta kos menyertai kejohanan antarabangsa yang tinggi.

Beliau turut mengurus sendiri hampir keseluruhan kerjayanya, daripada latihan, perjalanan hinggalah mendapatkan penaja.

Pandemik hampir menamatkan karier

Detik paling sukar hadir ketika pandemik Covid-19.

Ketika ranking dunianya sedang meningkat, kejohanan antarabangsa dibatalkan dan peluang penajaan hampir terhenti.

Soh terkandas di Dubai hampir setahun kerana tidak mampu menanggung kos kuarantin yang tinggi jika berulang-alik ke Malaysia.

Malah, pada satu ketika beliau hampir tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan pulang.

"Saya menumpang tinggal di rumah rakan-rakan dan keluarga rakyat Malaysia di sana sambil cuba meneruskan kerjaya.

"Ketika itu saya benar-benar terfikir untuk berhenti," katanya.

Namun, nasibnya berubah selepas sebuah laporan media mengenai kesukarannya mendapat perhatian Tan Sri Vincent Tan.

Menerusi yayasan milik usahawan itu, Soh menerima tajaan yang membolehkannya kembali menyertai pertandingan antarabangsa.

Beliau turut menerima sokongan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bantuan tersebut membuka jalan kepada Soh untuk muncul pelari menara nombor satu dunia pada April 2022.

Beliau mengekalkan kedudukan itu sehingga penghujung 2024 sebelum kembali merampas ranking nombor satu dunia pada tahun ini.

Setiap kemenangan untuk Malaysia

Bagi Soh, setiap perlumbaan bukan sekadar mengejar kemenangan peribadi.

Sebaliknya, setiap kali bertanding beliau membawa Jalur Gemilang dan memperkenalkan Malaysia kepada atlet dari seluruh dunia.

"Saya selalu membawa Jalur Gemilang dan memperkenalkan makanan serta budaya Malaysia kepada peserta dari negara lain," katanya.

Beliau berharap kejayaannya mampu memberi kebanggaan kepada rakyat Malaysia.

"Apabila rakyat Malaysia pergi ke New York dan melihat Empire State Building, saya mahu mereka berkata, 'Itulah bangunan yang mencatat rekod Soh Wai Ching dari Malaysia'."

Selangor antara yang terawal menghargai kejayaan

Soh turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor yang mengiktiraf pencapaiannya lebih awal sebelum sukan larian menara mendapat perhatian meluas.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Selangor bagi tahun 2023 dan 2024, selain menerima Bintang Kecemerlangan Sukan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Selangor tahun lalu.

"Saya sangat bersyukur atas penghargaan yang diberikan Selangor. Pengiktirafan seperti inilah yang diperlukan oleh atlet," katanya.

Mahu ada rakyat Malaysia kalahkan dirinya

Walaupun sudah mencapai impian menjadi nombor satu dunia, Soh belum mahu berhenti.

Beliau kini memburu rekod baharu di beberapa menara ikonik dunia seperti Empire State Building dan Taipei 101.

Pada masa sama, beliau menyasarkan kadar kemenangan kerjayanya meningkat daripada 73.9 peratus kepada 85 peratus.

Namun impian paling besar ialah melahirkan lebih ramai juara dunia dari Malaysia.

Beliau kini membimbing Muhammad Hazim Zuhairi Azahari dan Ayman Hakimy Salehuddin, yang disifatkan mampu mengikut jejak langkahnya.

"Saya mahu ada tiga rakyat Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Saya juga berharap suatu hari nanti ada atlet Malaysia mengalahkan saya. Jika seseorang berjaya menewaskan saya, itu bermakna sukan ini semakin berkembang.

"Tak boleh selama-lamanya Wai Ching yang menang. Saya akan lebih gembira jika ada atlet yang mampu mengatasi pencapaian saya," katanya.

Soh turut berkongsi segala ilmu latihan, strategi perlumbaan dan data prestasinya dengan atlet muda kerana percaya ilmu tidak sepatutnya disimpan sendiri.

Mengakhiri perbualan, beliau menitipkan pesanan kepada generasi muda.

"Apa sahaja yang anda minat, cubalah. Sentiasa ingin belajar, terus memperbaiki diri dan sasarkan untuk menjadi satu peratus terbaik dalam bidang yang diceburi.

"Jika semua orang berusaha menjadi yang terbaik, Malaysia pasti akan menjadi negara yang lebih hebat."

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved