Anak peniaga kedai runcit raih 9A dalam SPM impi biasiswa sambung belajar

11 Apr 2026 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nur Faqihah Adlina (kiri) menunjukkan keputusan SPM yang cemerlang. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
image is not available
Nur Faqihah Adlina (kiri) dan bapanya yang hadir menerima saguhati. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Berbekalkan keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang anak peniaga kedai runcit kini menyimpan harapan besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui tajaan biasiswa.

Nur Faqihah Adlina Mohd Noor Hisham, 18, berkata, dia memohon beberapa biasiswa termasuk daripada Petronas, Bank Negara dan Yayasan Telekom Malaysia bagi merealisasikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang Sains Fizikal di Universiti Teknologi MARA.

Anak sulung daripada empat beradik itu mengakui kekangan kewangan keluarga menjadi antara faktor utama mendorongnya untuk bergantung kepada bantuan biasiswa.

“Saya dah isi borang permohonan masuk universiti dan jika berjaya sudah tentu perlu banyak perbelanjaan.

“Saya terpaksa berfikir panjang dan mengutamakan keperluan tiga lagi adik,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini pada Sabtu.

**media[3488176]**

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad yang merasmikan majlis.

Nur Faqihah Adlina mencatat A+ bagi subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab dan Pendidikan Syariah Islamiah, A Bahasa Melayu, Fizik, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, A- Biologi, B+ Kimia manakala C+ bagi Matematik Tambahan.

Pada majlis itu, dia antara empat pelajar cemerlang dipilih menerima saguhati antara RM500 dan RM1,000.

Bapanya, Mohd Noor Hisham Mat, 44, bekerja sebagai peniaga kedai runcit manakala ibunya, Fitri Mayasari Yasagita, 44, merupakan suri rumah sepenuh masa.

Menurut Nur Faqihah Adlina berkata, minatnya dalam bidang matematik sejak Tingkatan Tiga mendorongnya untuk mengejar kerjaya sebagai saintis data pada masa hadapan.

Di sebalik kejayaan itu, dia mengakui tidak berpeluang menyertai kelas tuisyen berbayar secara dalam talian disebabkan kekangan kewangan.

Sebaliknya, dia mengambil inisiatif sendiri dengan mengulang kaji nota, membuat soalan latihan serta bertanya terus kepada guru jika tidak memahami sesuatu topik.

“Saya juga belajar daripada rakan-rakan yang mengikuti kelas tambahan berbayar.

“Saya minta mereka ajar semula apa yang mereka pelajari,” katanya.

Dalam pada itu, remaja itu turut menasihatkan pelajar lain agar tidak malu bertanya dan sentiasa mendapatkan restu ibu bapa serta guru.

“Jangan pandang rendah pada diri sendiri.

“Doa daripada ibu bapa dan guru sangat penting, itu yang banyak membantu saya,” katanya.