KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengagihkan pam air bergerak dan palet makanan ternakan bagi membantu pesawah serta penternak menghadapi kesan cuaca panas yang sedang melanda.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah proaktif itu bertujuan memastikan hasil pertanian dan ternakan tidak terjejas teruk.
“Walaupun sebahagian kecil padi rosak akibat gelombang panas, persiapan awal seperti penyedutan air dari Sungai Kelantan dan agihan pam bergerak berjaya menyelamatkan sebahagian besar hasil padi.
“Setakat ini, 20 pam sudah diagihkan dan masih banyak dalam proses kelulusan permohonan,” katanya pada sidang akhbar selepas Penutupan Bengkel Koperasi Pertanian al-Falah di Desa Gemalai Baruh Padi Alami di Lubok Jambu di sini pada Ahad.
Ujar beliau, kerajaan negeri turut menekankan kerjasama dengan Jabatan Pertanian, Meteorologi Malaysia dan agensi teknikal lain bagi memastikan jadual pertanian lebih tepat serta sesuai dengan perubahan cuaca.
**media[3482431]**
Dalam pada itu, katanya, meskipun kenaikan harga diesel akibat konflik global memberi kesan kepada kos input pertanian seperti baja, racun dan transportasi, kerajaan negeri terus memantau situasi melalui jawatankuasa khas serta laporan dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini, jumlah kesan kepada hasil padi dan bekalan makanan di negeri ini masih terkawal.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan masyarakat untuk berdoa memohon hujan sebagai usaha tambahan menghadapi kemarau selain usaha teknikal,” tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa hasil pertanian padi di Kelantan untuk musim pertama tahun ini masih berada pada tahap baik, dengan lebih 90 peratus kawasan padi di negeri ini berjaya dituai hingga kini.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan itu melalui Pusat Khidmat DUN membuka peluang kepada petani untuk menubuhkan koperasi berasaskan pertanian dengan sokongan bajet dan kepakaran teknikal.
“Koperasi akan membolehkan petani mengembangkan projek pertanian, penternakan, perikanan serta produk hiliran, termasuk potensi untuk agropelancongan,” katanya.


