
PENYANYI Yasin Sulaiman dibenarkan pulang selepas empat tahun menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Pelantun Mimpi Laila itu dilihat berkongsi Insta Story percikan bunga api.
Berita kepulangan penyanyi berusia 51 tahun itu terdahulu dikongsikan bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Threads.
"Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.

"Ya ALLAH, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa ALLAH SWT, Yasin dapat lepas hari ini," katanya.
Dalam pada itu Akbar turut memaklumkan, dia sudah menghubungi Yasin yang ketika itu berada dalam perjalanan pulang.
"Nanti tunggu 'update' terbaru saya bersama beliau nanti, insya-ALLAH. Kami sangat gembira," ujarnya," tuturnya lagi.
Imbas kembali 28 April tahun lalu, pemilik nama Mohammad Yasin Sulaiman itu dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan untuk ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan Yasin.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Hospital Bahagia terdahulu mengesahkan Yasin mempunyai penyakit bipolar disorder dan hyperthyroidism selain tidak waras ketika melakukan kesalahan kes dadah.







