
SHAH ALAM - Anak kepada bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Selasa.
Menurut portal tersebut, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman yang hadir ke hospital tempat kanak-kanak itu dirawat mengesahkan kejadian berkenaan.
“Serangan berlaku di luar kawasan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada jam 1.30 tengah hari,” katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini.
Laporan portal itu turut mendakwa, sumber lain memaklumkan bahawa serangan dipercayai berlaku di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah terbabit.
Ketika dihubungi, Rafizi hanya mengesahkan kejadian tersebut namun enggan mengulas lanjut.
“(Anak) sedang diperiksa oleh pasukan perubatan dan akan diletakkan di bawah pemerhatian,” katanya ringkas.
Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha menghubungi Ahli Parlimen Pandan itu, namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas.
Difahamkan, pegawai Rafizi menerusi satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Ramai yang bertanya mengenai insiden berkenaan dan semua pihak diharap dapat menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan.
“Bila sudah siap, kami akan kongsikan. Maaf dan terima kasih,” menurut kenyataan itu.


