Anak Rafizi Diserang, Dicucuk Jarum Suntikan

LocalPolitics
13 Aug 2025 • 7:12 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Anak Rafizi Diserang, Dicucuk Jarum Suntikan

Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mendedahkan bahawa anaknya telah diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Rafizi menerusi kenyataan di Facebook berkata kejadian berlaku pada jam 1.45 petang ketika isteri dan anaknya memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu.

“Secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.

“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya.

Ujarnya lagi, anaknya telah segera dibawa ke Hospital UPM untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, beliau sekeluarga telah memberikan kenyataan kepada pihak polis yang tiba di lokasi sejurus kejadian.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.

“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

“Insya Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kejadian serangan itu.

“Kejadian tersebut berlaku…ketika mangsa dilaporkan bersama ibunya dan pemandu mereka,” katanya kepada Bernama

Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.

Sumber: Rafizi Ramli